Jangan bandingkan saya dengan Najib: Anwar

Iklan
Anwar - Foto FB Anwar Ibrahim

ALOR SETAR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar penyokong UMNO tidak membuat perbandingan kes pemenjaraan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, dirinya dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) selepas menjalani hukuman 10 tahun di penjara atas faktor kesihatan dan usia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bukan seperti didakwa penyokong Najib yang mendesak agar bekas Presiden UMNO itu berhak dipindahkan ke HRC berikutan Anwar juga diberikan layanan sama ketika menjalani hukuman penjara.

"Ada yang pertikai Anwar boleh dihantar ke HRC, kenapa Najib tak boleh. Dia (Najib) nak pi hak dia. Saya tak komen apa pun tetapi bila ada yang banding dengan saya, itu tak kena.

Iklan

"Saya masuk ke pusat rehabilitasi selepas 10 tahun lebih duduk dalam penjara seorang, bercakap dengan lipas, nyamuk atau tikus.

"Ketika hadir ke mahkamah, baru boleh jumpa isteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), jadi janganlah banding dengan Najib,” katanya ketika berucap pada program ceramah di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Suka Menanti di sini pada malam Ahad.

Anwar tegaskan, beliau hanya dihantar ke pusat tersebut untuk mendapatkan rawatan pakar selepas menjalani pembedahan di bahu.

Iklan

"Saya duduk dalam penjara dekat 11 tahun, mereka duduk seminggu tak sampai, mengadu sakit perut, sakit lutut macam-macam, baru (mereka) tahu.

"Saya nak bagi tahu betul-betul, saya tak mahu dendam. Kalau benar Najib sakit, doktor sahkan sakit, bagilah ubat jangan dera (keadaan), saya tak ada masalah (berhubung pemindahan Najib ke hospital rehabilitasi),” katanya.

Menurutnya, ketika dipenjara, beliau hanya tidur di lantai simen sebelum doktor menasihatkan supaya diberikan katil susulan keadaan tulang belakang yang semakin serius pada 2015.

"Masa dulu saya masuk (penjara), lempar atas lantai saja. Saya alami macam-macam, mata lebam, pecah mulut, gigi, telinga ketika itu 40 peratus hilang pendengaran. Itu pun selepas 10 tahun saya baru diberikan katil, Najib masuk terus dapat katil.

"Saya sebut bukan sebab nak banding tapi sebab orang UMNO pertikai apa beza? Bacalah semula kes saya, berbeza dengan kes Najib yang didakwa menerima RM42 juta dalam akaun,” ujarnya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, selepas dibebaskan beliau ditawarkan untuk menjalani rawatan susulan oleh Presiden Turki di Istanbul.

"Selepas pembedahan dan masukkan besi, tidaklah pulih 100 peratus, namun alhamdulillah perubatan Turki begitu tinggi dan saya mampu pulih dengan baik. Jadi orang tahu apa berlaku sebenarnya, fitnahlah banyak mana pun,” katanya lagi.

Pada tahun 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana didapati bersalah atas penyalahgunaan kuasa.

Dua bulan kemudian, Anwar dijatuhi hukuman kedua selama sembilan tahun kerana didakwa melakukan kesalahan di luar tabii (liwat).

Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan Malaysia menggugurkan sabitan kesalahan liwat terhadap Anwar dan dikeluarkan pada 2 September kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa perbuatan meliwat tersebut telah berlaku.

Pada November 2006, beliau mengumumkan bertanding di Parlimen pada pilihan raya 2008.

Pada 16 Mei 2018, Anwar dibebaskan setelah hampir tiga tahun dipenjara selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.