MELAKA - Keceriaan seorang pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, di sini, berubah selepas dia diserang sawan sejak Ogos tahun lalu dan terlantar sehingga kini.
Ibunya, Faridah Loyot,42, berkata, keadaan kesihatan Allieya Maiesara Rosli, 19, berubah selepas dia yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mengalami sawan sehingga tidak mampu untuk bergerak dan berjalan sendiri seperti sebelum ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga anaknya terpaksa berulang alik mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan juga Hospital Kuala Lumpur terutama setiap kali diserang sawan.
Katanya, biarpun pendapatan gaji suaminya, Rosli Yaacib, 52, sebagai pengawal keselamatan di Hospital Melaka hampir mencecah RM2,000 namun mereka tidak mampu menampung kos perbelanjaan anak kedua dari tiga beradik itu setiap bulan.
"Berat badan Allieya pun semakin susut dan perlu minuman susu khas dengan kos lebih RM200 sebulan.
"Sebagai ibu hanya kata-kata sabar yang dapat saya ungkapkan dan selagi diberikan kesihatan yang baik saya akan menjaganya hingga akhir hayatnya" kata Faridah ketika ditemui di rumahnya di Taman Limbongan Permai pada Isnin.
Tambah suri rumah itu, dua lagi anaknya, Nurul Shafieqah Aidai, 22, dan Muhammad Nur Aiediel,11, juga memiliki kad OKU, namun Nurul Shafieqah Aida telah berkahwin manakala anak bongsunya pula masih belajar di kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan.
Katanya, dia bersyukur mendapat bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) setiap bulan dan adakalanya MAIM turut membantu membayarkan perbelanjaan berulang-alik ke hospital.
Bagaimanapun katanya, bantuan itu tidak mencukupi lebih-lebih lagi selepas keadaan anaknya terlantar sakit dan penglihatan Allieya juga semakin kabur.
"Saya memang nak bawa dia dan adiknya membuat cermin mata, namun disebabkan kekangan wang saya terpaksa dahulukan mana penting seperti makanan tambahan dan susu anak," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka, Ashwad Abd Rahim yang turut melawat keluarga itu berkata, beliau akan menanggung kos membuat cermin mata kedua-dua anak Faridah dan pada masa sama akan melihat bantuan yang diperlukan keluarga itu.
"Kita prihatin dengan nasib keluarga ini dan membantu dari segi kewangan dan bantuan susu khas bagi meringankan beban," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Allieya Maiesara bolehlah menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0413241000045363 (Faridah Loyot).