Hospital Tanjong Karang mula beroperasi 10 Oktober ini

Iklan
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (tiga, kiri) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar (dua, kiri) ketika membuat lawatan ke fasiliti hospital selepas Majlis Penyerahan Hospital Tanjong Karang. - Foto Bernama.

SHAH ALAM - Hospital Tanjong Karang yang mula dibina empat tahun lalu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 10 Oktober depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hospital baharu yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan itu akan menggantikan hospital lama yang berusia lebih 56 tahun.

Iklan
Iklan

"Jarak Hospital Tanjong Karang lama dengan Hospital Tanjong Karang baharu ini sejauh enam kilometer (km)," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan projek hospital itu pada Isnin.

Khairy berkata, Hospital Tanjong Karang akan dinaik taraf daripada hospital tanpa pakar kepada hospital pakar minor yang kedua di Selangor.

Iklan

Jelas beliau, sebanyak 10 bidang kepakaran diperkenalkan di hospital itu secara berfasa antaranya pembedahan, kecemasan, ginekologi, pediatrik, ortopedik, radiologi dan patologi.

"Hospital Tanjong Karang baharu turut menawarkan khidmat pakar secara lawatan bagi otorinolaringologi, oftalmologi, psikiatrik dan forensik," ujarnya.

Iklan

Beliau memberitahu, sebanyak sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar lain dapat dijimatkan selain memberi manfaat kepada lebih 300,000 penduduk di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, sebanyak lebih RM2 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Parit Baru dan Klinik Desa Kampung Batu 4 Sepintas, Sabak Bernam yang musnah dalam kebakaran.

"Kita sudah meluluskan peruntukan dan perolehan darurat bagi kedua-dua fasiliti kesihatan berkenaan.

"Peruntukan ini termasuk kerja menaik taraf bangunan dan penggantian peralatan perubatan yang terjejas akibat kebakaran," katanya.