ISKANDAR PUTERI- Kejadian banjir kilat yang menimpa penduduk Kampung Baru Gelang Patah pada awal pagi Ahad ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada mereka apabila hampir keseluruhan peralatan rumah rosak akibat ditenggelami air.
Penduduk yang ditemui, Robiah Mohd Akil, 62, berkata, kejadian banjir yang berlaku pada jam 6 pagi itu terlalu cepat dan air naik sehingga 0.5 meter dalam tempoh sejam.
Dia yang yang baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perut bulan lalu memberitahu kawasan rumahnya hanya terletak kira-kira 200 meter dari Sungai Senapang.
"Saya dan suami, Johari Abd Jalil, 68, serta anak saudara, Kamariah Abdul Jalil, 48 cuba mengalihkan barang berharga ke tempat selamat agar tidak rosak ditenggelami banjir.
"Kemudian anggota bomba tiba untuk pindahkan kami ke pusat pemindahan sementara ( PPS) di Dewan Raya Gelang Patah," katanya pada Isnin.
Seorang lagi mangsa, Tumiran Tumian, 46, berkata, dia tidak menjangka banjir kali ini begitu teruk sehingga memusnahkan keseluruhan perabot di dalam rumahnya dan kereta Perodua Kancil miliknya turut rosak akibat ditenggelami banjir.
Katanya, ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja di kilang dan sebelum dihubungi isterinya memaklumkan rumah sudah dinaiki air.
"Ini adalah kejadian terburuk sejak banjir berlaku tiga tahun lalu. Kali ini banjir naik lebih satu meter.
"Saya sedih melihat perabot dan barang elektrik di dalam rumah tidak sempat diselamatkan. Saya juga khuatir kejadian sama akan berulang selepas ini memandangkan sekarang musim tengkujuh," jelasnya.
Sementara itu, bagi pengawal keselamatan, Basroen Adnan, 59, menyifatkan banjir kali ini naik begitu cepat akibat hujan dan air pasang menyebabkan perabot dan barang elektrik rumahnya turut rosak.
"Saya jangka banjir kilat seperti biasa sahaja, tidak sangka pula air naik dengan cepat. Ini mungkin disebabkan pintu air yang rosak di Sungai Senapang berhampiran.
"Memandangkan sekarang ini musim air pasang dan hujan sudah tentunya saya risau jika banjir berulang. Harap pihak kerajaan dapat lakukan pelan tindakan atasi masalah ini," katanya.