PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan parti itu tidak pernah membincangkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.
Sebaliknya, kata Mahadzir, mesyuarat sebelum ini memutuskan bahawa Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai"poster boy" calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya sebagai Naib Presiden mengatakan bahawa tidak pernah ada mesyuarat (Ahmad Zahid sebagai calon PM)," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan tiga tahunan kesatuan kakitangan jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Semenanjung Malaysia (Kesateria) di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, di sini pada Isnin.
Menurutnya, spekulasi Ahmad Zahid sebagai calon PM merupakan suatu tindakan oleh pihak tertentu untuk melaga-lagakan UMNO.
"Kadang- kadang mereka ini mahu melaga-lagakan agar suatu perkara tidak elok berlaku.
Sekarang tak kira ada angin atau tidak. Macam-macam," katanya mengulas mengenai kenyataan yang tular berhubung kedudukan Presiden UMNO itu selepas memenangi PRU15.
Ditanya adakah calon Perdana Menteri akan dibincangkan pada mesyuarat parti 30 September depan, Mahadzir enggan mengulas lanjut.
"Mungkin kita bincang fasal pilihan raya," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan menamakan Ahmad Zahid sebagai calon perdana menteri pada PRU15.
Pada April lalu, Ismail Sabri diangkat sebagai poster boy oleh UMNO untuk PRU15.