MELAKA - Seorang lelaki buntu selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya yang dihantar ke sebuah pusat servis kenderaan di Ayer Keroh di sini untuk diselenggara secara berjadual hilang pada pertengahan bulan lalu.
Tay Han Sin, 49, berkata, sebelum kejadian, dia menghantar kenderaan jenis model Lexus RX300 F Sport untuk diselenggara kali kedua di pusat servis berkenaan.
Bagaimanapun katanya, beberapa jam kemudian dia dimaklumkan bahawa kenderaan miliknya telah dibawa keluar oleh individu lain setelah selesai diselenggara.
"Apabila saya membuat semakan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali telah mengambil kunci kenderaan saya," katanya ketika sidang akhbar berkenaan kehilangan kenderaan selepas pertemuan Pengerusi Pusat Pengaduan Awam MCA Melaka, Dennis Lee Han Lim bersama wakil pusat servis itu di Ayer Keroh pada Isnin.
Han Sin berkata, dia yang baru enam bulan menggunakan SUV itu kini dibebani dengan ansuran lebih RM2,000 sebulan sedangkan kenderaan itu masih belum dijumpai.
Sementara itu, Dennis Lee berkata, masalah tersebut dipanjangkan kepadanya setelah mangsa menunggu selama sebulan, namun belum ada sebarang perkembangan positif mengenai kehilangan kenderaan itu.
Katanya, pihak terbabit memberitahu proses untuk menyelesaikan isu berkenaan akan mengambil sedikit masa.
"Sehingga kini kes tersebut masih dalam siasatan dan membabitkan pelbagai pihak termasuk polis.
"Syarikat terbabit dan insurans juga telah mengetahui perkara ini dan akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima termasuk siasatan pihak polis," katanya.
Beliau berharap pusat servis kenderaan perlu meningkatkan ciri keselamatan di premis masing-masing terutamanya melibatkan harta milik pelanggan.