Wanita perlu jadi insan hebat

Iklan
Miesya (kanan) bergambar bersama Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Shiekh Mohamed.

SHAH ALAM - Golongan wanita kini perlu memberanikan diri untuk bangkit menjadi insan hebat dengan berteraskan iman, ilmu dan imej luar biasa dalam perjuangan mengorak langkah ke hadapan.

Itu antara manifesto yang ingin diperjuangkan pemenang Ikon Wanita Johor 2022, Nur Aishah Mat Yunus, 40 atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Miesya Yunus.

Iklan
Iklan

Wanita berdarah kacukan Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan itu percaya, kecantikan seorang wanita akan terserlah seandainya mereka yakin dengan setiap apa yang dilakukan.

Katanya, wanita akan menjadi lebih berketerampilan, cantik, berkeyakinan dan sihat dari segi mental apabila mereka yakin dengan apa yang diinginkan.

Iklan

"Saya menekankan slogan wanita bangkit hebat dengan iman, ilmu dan imej luar biasa kerana pertama, apa yang penting ialah tawakal kepada ALLAH SWT.

"Kedua, kaum Hawa perlu ada ilmu yang boleh digunakan untuk membantu dalam meningkatkan kualiti hidup.

Iklan

"Seterusnya, amat penting untuk wanita menjaga imej, bukan bermakna perlu kelihatan cantik dan pakai alat solek 24 jam, sebaliknya jaga keperibadian luar dan dalam supaya kita ada aura yang tidak boleh dicuri,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Miesya akan bersaing bersama sembilan lagi pemenang wanita ikon peringkat negeri bagi merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia 2022 pada Majlis Makan Malam Anugerah 1 Wanita Ikon Malaysia pada 20 Oktober depan.

Anak jati Pontian, Johor itu berhasrat untuk berjuang bagi memperkasakan kaum hawa dan berkongsi kisah inspirasi bersama wanita di seluruh Malaysia satu hari nanti.

"Kita buat kempen penjenamaan untuk wanita mewakili anak kampung, keluarga susah dan anak yatim agar mereka dapat berkhidmat kembali kepada keluarga,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Miesya Yunus Holding Sdn Bhd mula membina jenama dan reputasinya sendiri melalui pengalaman dalam bidang perhubungan awam kerana baginya, tidak ada jalan singkat untuk berjaya.

"Saya bukan lahir daripada keluarga kaya. Saya percaya tidak semestinya kita perlu ada ‘kabel’ atau pengaruh orang besar mendapatkan sesuatu.

"Mesti ada tawakal tinggi kepada ALLAH SWT dan percaya tidak ada doa yang paling mustajab melainkan doa ibu.

"Orang boleh kutuk dan hina, tapi kalau ibu reda, seluruh makhluk di dunia ini akan beri jalan. Cepat atau lambat, jika buat kerja dengan jujur, kita akan sampai ke tahap atas,” katanya.