Hujan lebat serta ribut kuat landa KL, Selangor

Iklan
Pokok tumbang menghempap kenderaan.

HULU LANGAT - Hujan lebat dan ribut kuat petang tadi menjejaskan beberapa rumah serta menyebabkan pokok tumbang di sekitar kawasan Cheras, Kajang, Bangi dan Semenyih.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian bencana itu oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.

Iklan
Iklan

Menurut laporan diterima, ribut kencang menyebabkan tiga rumah terjejas dan dua rumah di Kampung Batu 5, Semenyih dinaiki air.

Bagaimanapun keadaan di lokasi terkawal dan penghuni tidak perlu berpindah.

Iklan

Katanya, banjir dan kejadian pokok tumbang turut berlaku di Kampung Teras Jernang yang mana rumahnya masih terlibat dalam proses bancian.

Pokok tumbang menghalang jalan dan bumbung rosak akibat ribut.

"Air dah surut, kerja pembersihan masih dijalankan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kerosakan bumbung dilapor berlaku di tujuh rumah dan empat kedai akibat pokok tumbang di Kampung Bangi.

Turut terjejas Klinik Kesihatan Bangi namun kerja pembersihan selesai dilakukan.

"Pokok tumbang juga dilapor berlaku di 20 lokasi di zon Kajang, 11 lokasi di zon Cheras dan lima lokasi di Bangi.

"Namun kejadian ribut dan pokok tumbang ini tidak melibatkan kerosakan rumah. Proses pembersihan dilakukan pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)," katanya.