TERENGGANU Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC), dua pasukan berbasikal profesional negara telah menghantar permohonan mengekalkan status pasukan benua untuk musim 2023.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pihaknya telah menghantar permohonan dua pasukan itu kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berpangkalan di Aigle, Switzerland.
Iklan
Iklan
"Saya percaya UCI akan luluskan permohonan TSG dan Sapura, bermakna kedua-dua hampir pasti akan dijemput untuk menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama Abu Samah mengakui TSG, yang menjadi pasukan nombor satu Asia, dan TSC telah banyak mengharumkan nama negara menerusi pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan sukan berbasikal di rantau ini.
"Saya optimis kedua-dua pasukan ini akan memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mempertahankan emas acara lepas ramai-ramai elit lelaki Sukan SEA 2023 di Kemboja, selepas kejayaan di Vietnam lalu," katanya.