KEGAGALAN menstabilkan emosi dilihat sebagai faktor utama yang masih menghalang pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh, kembali mencapai tahap prestasi terbaik pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini.
Penganalisis sukan dan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pemain sayap tersebut, berusaha keras di padang untuk membuktikan sesuatu, namun keinginan itu menyebabkannya gagal mengawal emosi sehingga melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
Beliau berkata, perkara itu diburukkan lagi apabila pemain kelahiran Gambia itu, masih gagal berada pada tahap prestasi sebenar selain kekurangan minit permainan kompetitif, berikutan persaingan hebat antara pemain handalan di Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Apabila seseorang pemain makin lama makin tertekan, jadi dia makin susah nak dapatkan prestasi terbaik. Ini yang saya nampak berlaku pada Sumareh," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Malaysia muncul naib juara kejohanan Piala Raja Thailand edisi ke-48 selepas tewas 0-3 kepada Tajikistan, dalam penentuan sepakan penalti setelah aksi 90 minit berakhir tanpa jaringan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, pada Ahad.
Biarpun skuad Harimau Malaya muncul naib juara, penampilan Sumareh terutamanya ketika berhadapan Tajikistan mendapat kritikan peminat, selepas beraksi di bawah prestasi sebenar dengan dilihat seakan-akan hilang arah dalam taktikal Pan Gon.
Malah Sumareh juga hampir membawa padah kepada Harimau Malaya, kerana terjahan keras beliau ke atas pemain lawan pada penghujung separuh masa pertama, namun pemain kelahiran Gambia itu bernasib baik apabila tidak dilayangkan kad kuning kedua.
Pan-gon kemudiannya menggantikan beliau dengan Mohamad Faisal Abdul Halim pada babak kedua perlawanan.
Sebelum ini pada perlawanan pertama Malaysia menentang Thailand, Sumareh masuk menggantikan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-68 perlawanan, namun kehadirannya tidak banyak memberikan impak pada Harimau Malaya.
Bagaimanapun, di sebalik semua itu Pekan percaya di usia 28 tahun, Sumareh mampu kembali ke prestasi terbaik, dengan syarat beliau perlu menggandakan usaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT, bagi mendapatkan minit permainan sekali gus mengurangkan segala tekanan perasaan dan emosi.
"Kalau masih gagal juga saya tidak nampak pilihan lain selain dia kena pergi ke pasukan lain yang boleh beri dia tempat sebagai pemain utama.
"Saya juga percaya, jika Sumareh berjaya mencapai prestasi terbaik, sumbangannya bakal memberi impak besar kepada prestasi pasukan negara secara keseluruhan," katanya.
Pekan berkata, masalah prestasi Sumareh bukan sahaja perlu diatasi oleh pemain itu seorang, tetapi peluang juga harus diberikan oleh Pan Gon sehinggalah tiada pilihan selain menggugurkannya selepas memberikan banyak peluang namun gagal menyerlah.
Sumareh merupakan pemain naturalisasi pertama negara selepas mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April 2018 dan berdasarkan rekod bekas pemain Pahang itu telah menjaringkan lebih tujuh gol sejak membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya pada Oktober 2018. - Bernama