SAINGAN Liga Juara-Juara Remaja Milo musim pertama melabuhkan tirainya dengan lima pasukan muncul juara kategori masing-masing pada Ahad.
Kejohanan kesinambungan Piala Cabaran Milo pada Jun lalu menyaksikan 12 pasukan terbaik dalam lima kategori iaitu Bawah 8 tahun (B-8), B-10, B-12, B-14, B-17 berentap mempamerkan kehebatan.
Pengurus Pemasaran Milo Malaysia, Kerwin Lim berkata, Milo sentiasa percaya dan yakin bahawa sukan merupakan satu platform terbaik untuk mendidik anak muda mengenai nilai dan prinsip kehidupan.
"Milo yang sinonim dengan penganjuran pertandingan sukan di peringkat bawah umur sekali lagi menyatakan komitmen mereka untuk merancakkan lagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
"Malah, kerjasama Milo dan Akademi JSA ini telah berkongsi matlamat yang sama iaitu ingin melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda berkualiti melalui penganjuran pertandingan ini," katanya ketika mengulas kerjasama Milo dan JSA bagi penganjuran kejohanan tersebut.
Sementara itu, pemilik bersama Akademi JSA, Steven Lim menzahirkan penghargaan kepada Milo Malaysia atas komitmen membantu terhadap penganjuran kejohanan ini.
"Kami menghargai keyakinan dan sokongan Milo menganjurkan kejohanan seumpama ini. Mereka memainkan peranan yang penting dalam membantu menyediakan pentas kompetitif buat pemain muda untuk menyinar," katanya.
Pada aksi final Liga Juara-Juara Remaja Milo di Arena JSA, Setia Alam, pasukan tuan rumah, JSA United muncul juara bagi kategori B17 selepas menewaskan Akademi Felda Red Hawks 4-0.
Muhammad Sufian Azim yang menjaringkan dua gol dinobatkan pemain terbaik musim ini mengimpikan peluang untuk mewakili negara pada masa depan.
"Saya gembira dapat beraksi dengan cemerlang pada perlawanan akhir. Saya mahu mencuri tumpuan pasukan pencari bakat yang hadir di sini agar saya dapat mewakili pasukan muda negara satu hari nanti," katanya.
Liga Juara-Juara Remaja Milo akan memasuki musim kedua pada Oktober ini dengan format baharu apabila dua divisyen diperkenalkan bagi merancakkan lagi kejohanan ini selain perancangan menarik penyertaan daripada pasukan cilik wanita.