SEREMBAN - Sebanyak 89 titik panas dikenal pasti berpotensi berlakunya kejadian banjir di seluruh Negeri Sembilan berikutan fenomena Monsun Timur Laut, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, susulan itu pelbagai persediaan dilakukan kerajaan negeri dalam menghadapi kemungkinan banjir termasuk mewujudkan bilik gerakan yang akan dihubungkan dengan beberapa agensi dan jabatan supaya dapat bertindak segera sebaik bencana melanda.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga ketika ini sedang mengumpulkan sukarelawan khususnya dalam kalangan golongan muda bagi menyalurkan bantuan dengan segera ketika bencana selain membantu agensi penguat kuasa.
"Kali ini kawasan titik panas banjir bertambah berbanding 81 lokasi dengan 369 tempat banjir yang berlaku pada akhir tahun lepas...apa yang penting masyarakat dalam kawasan itu sentiasa berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Apresiasi Sambutan hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri di sini hari ini.
Menurutnya, pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor akan diadakan bagi menyelaraskan bantuan yang boleh disalurkan segera sekiranya banjir tidak berlaku secara serentak.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga akan menyelaras semula pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir dengan sekolah berasrama penuh digunakan dahulu sebagai PPS kerana mempunyai kemudahan yang lengkap.
Mengenai isu lain, Aminuddin berkata mana-mana persatuan sukan di negeri ini yang tidak menunjukkan prestasi baik akan digugurkan daripada menyertai temasya sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) akan datang bagi mengelakkan pembaziran.
"Kita tak mahu lihat elaun dibayar, persatuan diberi peruntukan tapi hasilnya tetap sama dari tahun ke tahun, namun mana-mana persatuan yang berpotensi kita akan terus bantu,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada atlet negeri ini yang menyumbang keseluruhan 53 pingat dalam Sukma 2022.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga berakhirnya penggal tahun depan merupakan langkah terbaik bagi mengelakkan kerajaan berbelanja besar sekiranya ia diadakan berasingan.
"Kenapa nak segerakan kalau kos tinggi...perlu melihat masalah ekonomi dan kemungkinan banjir besar,” katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dibuat serentak akan meningkatkan kos perbelanjaan pilihan raya hampir dua kali ganda. - Bernama