Ahli, pimpinan Pas perlu akur, wala' kepada nasihat Mursyidul Am

Iklan
Takiyuddin

KUALA LUMPUR - Seluruh pimpinan dan ahli Pas diminta akur serta memberikan wala’ (kesetiaan) kepada arahan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin agar semua pihak yang inginkan perpaduan dan kestabilan negara menghayati dan merealisasikan agenda penyatuan ummah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas sentiasa komited dalam melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Iklan
Iklan

"Sehubungan itu, Pas tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.

"Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Takiyuddin berkata, Pas sentiasa yakin bahawa perpaduan di antara parti utama Melayu-Islam dapat menjamin pembentukan sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.

Kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Bernama

Iklan