SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Isnin malam.
Muhyiddin berkata, banyak perbincangan yang telah dipersetujui bagi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuh PN dalam menghadapi PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini memaklumkan akan bertemu dengan Abdul Hadi bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan Ahli Parlimen Marang itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘menghidupkan’ semula Muafakat Nasional (MN).
Ia susulan terdapat laporan akhbar yang mendakwa perbincangan untuk menghidupkan semula MN adalah bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.
Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung pada Selasa lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September ini.
Tambahnya, selain mendapatkan penjelasan Pas, pertemuan antara Muhyiddin dan Abdul Hadi juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.