GEORGE TOWN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mempergiatkan pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial dan rumah sembelih, susulan pengesahan kejadian penyakit demam babi Afrika (ASF) di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak.
Dalam satu kenyataan, JPV Pulau Pinang memaklumkan pihaknya turut mengenal pasti lori pengangkut babi dari negeri ini yang telah mengangkut babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF itu untuk disekat pergerakannya.
Iklan
Iklan
Seterusnya, jabatan itu mengarahkan lori berkenaan untuk menjalani proses disinfeksi serta menyekat pengeluaran babi dari kesemua ladang babi yang telah mengangkut babi menggunakan lori haiwan itu.
"Pihak kami juga akan menjalankan pemeriksaan dari ladang ke ladang bagi memastikan penternak mematuhi arahan jabatan dan menjalankan kawalan biosekuriti di ladang," katanya.
Pihak JPV Pulau Pinang turut menasihatkan para penternak babi, doktor veterinar swasta, penyembelih, operator rumah sembelih, penangkap babi dan orang ramai untuk segera melaporkan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah jika terdapat sebarang kematian luar biasa, tanda klinikal disyaki penyakit berjangkit di ladang babi dan rumah sembelih; dan sebarang kematian babi hutan di kawasan sekitar. - Bernama