KUALA LUMPUR - Seorang buruh binaan warga Bangladesh ditemui maut dalam runtuhan konkrit di tingkat 51 sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang di sini awal pagi Selasa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, dua buah jentera bersama 20 anggota dari Balai Bomba Jalan Tun Razak dan Keramat dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah malam.
Menurut kenyataan itu, runtuhan konkrit itu berlaku di tingkat 51 sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan dan menyebabkan seorang mangsa tertimbus.
"Anggota bomba bertindak memotong dan memecahkan besi konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.
"Mangsa berjaya dibawa keluar dari timbunan konkrit pada jam 7.21 pagi, Selasa dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.