Tabah diuji anak sakit jantung, hiperaktif

Iklan
Mohd Nor Syam (kiri) dan Rozela (kanan) melihat anaknya bermain.

PEKAN - Pasangan suami isteri dari Taman Alor Ara Dahlia di sini berdepan dengan ujian berat apabila anak ketiganya bukan sahaja disahkan menghidap penyakit jantung kongenital tetapi turut mengalami gangguan hiperaktif.

Rozela Ismail @ Osman, 45, mengakui tidak menyangka diuji ALLAH sekali lagi selepas kehilangan anak sulungnya, Mohamad Haiqal Huzaimi Mohd Norsham, 14, yang menghidap sakit yang sama.

Iklan
Iklan

Katanya, kini Mohamad Hazzim,11, pula disahkan mengalami masalah jantung oleh Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekitar Jun tahun lepas.

"Saya diuji dengan kesihatan anak bermula dari anak sulung, kini anak yang ketiga pula ALLAH menduga dengan kesakitan sama dan menguji kesabaran saya sekeluarga.

Iklan

"Saya sebenarnya tidak kuat, namun mahu tidak mahu saya terpaksa tabah untuk melaluinya semua ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Alor Ara Dahlia di sini pada Selasa.

Dia mengakui pada mulanya tidak mengetahui Mohamad Hazzim menghidap penyakit jantung kerana sentiasa aktif.

Iklan

Namun katanya, sejak beberapa bulan lalu Mohamad Hazzim mengalami kesukaran bernafas ketika bermain.

"Masa bermain saya melihat Mohamad Hazzim seperti lelah dan semput serta mukanya kebiruan.

"Melihat tanda-tanda ini, saya dan suami menghantar ke hospital dan pemeriksaan mendapati Mohamad Hazzim mengalami sakit jantung," ujar ibu kepada empat anak itu.

Mohamad Hazzim menderita penyakit jantung selain mengalami gangguan hiperaktif.

Rozela hanya menjual kuih bagi menampung perbelanjaan keluarga memberitahu sedih apabila dimaklumkan Mohamad Hazzim menghidap penyakit itu, namun dia tidak dapat dibedah seperti arwah abangnya.

"Doktor kata tidak boleh dibedah atas faktor berisiko tinggi, namun mereka tidak memberi penjelasan lanjut.

"Namun, apa yang pasti, saya menunggu rawatan seterusnya pada November depan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status kesihatan Mohamad Hazzim," luah Rozela.

Sementara itu, Mohd Norsyam Abdul Latif, 43, juga tidak menyangka mereka sekeluarga perlu menghadapi situasi yang sama buat kali kedua.

Jelasnya, rasa kesedihan itu terpalit di hati dan mengingatkan kembali ujian yang pernah dilalui sebelum ini.

"Saya ingatkan dugaan kami berakhir apabila arwah (Mohamad Haiqal) sudah meninggal. Rasa macam tak boleh nak terima jugalah sebenarnya tapi kami reda.

"Tapi situasi yang dihadapi Mohamad Hazzim sedikit berbeza berbanding abang sulungnya daripada segi saluran pulmonari yang mengepam darah ke jantungnya.

"Saluran darah bagi jantung normal biasanya ada dua saluran masuk dan dua saluran keluar tapi jantung anak saya ini hanya ada satu saluran darah masuk dan satu keluar selain ada jantung berlubang," ujarnya yang tidak mempunyai pekerjaan selepas diberhentikan kerja sebagai pemandu peribadi.

Dia memaklumkan dalam keadaan sekarang ini, hanya isterinya yang terpaksa mencari rezeki dengan menjual kuih dan keropok bagi menyara kehidupan sekeluarga.

"Saya pula terpaksa bantu Rozela menguruskan rumah tangga tambah pula dia (Rozela) tidak pandai membawa kereta, jadi saya terpaksa menguruskan anak-anak ke sekolah.

"Lagi satu, saya tak bekerja bukan sebab tak dapat tawaran atau apa tapi di Kuantan. Jarak dari sini (Pekan) lebih satu jam. Ini menyebabkan saya tidak sempat hendak hantar ambil anak yang masih dari sekolah,” jelasnya lagi.

Selain itu, Mohd Norsyam berkata, isterinya juga mempunyai masalah kesihatan membabitkan penyakit abdomen namun terpaksa menangguhkan proses pembedahan kerana bertembung tarikh dengan pembedahan anak sulung mereka tahun lalu.

"Walaupun dia sakit tapi dia tetap memikirkan anak-anak, dia teruskan buat kuih walaupun dia sakit,” ceritanya lagi.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban pasangan suami isteri boleh menyalurkan sumbangan melalui akuan Bank Simpanan Nasional 0600241000068104 atas nama Rozela.