Banglo dua tingkat diserbu curi air

Iklan
Pegawai Sains dan SPAN melakukan pemeriksaan pada paip yang digunakan di sebuah premis pembuatan perabot.

SEREMBAN - Sebuah banglo dua tingkat yang sedang diubah suai di Taman Lavander Heights di sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan dilakukan pada Isnin itu mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter.

Iklan
Iklan

"Ujian klorin dilakukan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Selain itu katanya, sebuah premis pembuatan perabot di Bandar Seremban Selatan di sini turut diserbu atas kesalahan sama.

"Siasatan mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16mm tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan perniagaan mereka.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Norzita berkata, SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.

Tambah, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air melibatkan pengguna komersil dan domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW)," katanya.