Szalai fokus bidang kejurulatihan

Iklan
Adam Szalai

KAPTEN Hungary, Adam Szalai sudah pun memikirkan kesinambungan karier dari pemain ke pengurus bola sepak sebaik mengakhiri kempen antarabangsanya pada Isnin.

Szalai, yang menandatangani kontrak dengan kelab gergasi Switzerland, FC Basel sehingga Jun 2023, mengumumkan perlawanan kumpulan terakhir Hungary menentang Itali dalam Liga Negara-Negara UEFA menjadi pentas terakhir sebagai pemain.

Iklan
Iklan

Hungary, yang mengejutkan Jerman di Leipzig dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Szalai pada Jumaat terpaksa berputih selepas tewas 0-2 kepada juara Eropah, Itali di Stadium Puskas Arena Park, sekali gus meranap impian ke pusingan seterusnya.

"Saya masih tidak dapat melupakan hakikat ini merupakan perlawanan terakhir bersama pasukan kebangsaan kerana terlalu menumpukan perhatian sepanjang 90 minit.

Iklan

"Kami terlepas peluang besar, walaupun tahu pasukan Hungary mempunyai peluang dan keupayaan tinggi mencipta sensasi.

"Jika melihat dari mana asal pasukan ini, maka kita perlu berterima kasih kepada pengurus dari Itali, Marco Rossi apabila berjaya mengumpulkan pasukan yang beraksi di luar kekuatannya.

Iklan

"Saya berharap pada masa depan semua bakat muda Hungary akan matang bagi meneruskan perjalanan pasukan ini,” kata pemain berusia 34 tahun tersebut.

Penyerang itu yang sebak mendengar lagu kebangsaan sebelum sepak mula, mendapat tepukan gemuruh apabila Rossi menggantikannya dengan Martin Adam pada minit ke-75 untuk perlawanan antarabangsa ke-85.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyokong Hungary, rakan sepasukan, kakitangan.

"Peperiksaan kejurulatihan akan diadakan pada Isnin depan, saya harap sokongan semua sebagai motivasi meraih keputusan cemerlang.

"Bidang kejurulatihan bola sepak merupakan cabaran dan pengalaman baharu kepada saya," katanya.

Untuk rekod, Szalai membuat penampilan pertama bersama Hungary ketika tewas 0-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Israel pada 2009, menjaringkan 26 gol untuk pasukannya.