Taufan Noru: Thailand jangka hujan lebat, banjir kilat

Iklan
Thailand bersiap sedia hadapi kemungkinan hujan lebat dan banjir kilat susulan taufan Noru kini bergerak menghala ke arah barat pada kelajuan kira-kira 35 kilometer (km) sejam dan dijangka mendarat di tengah Vietnam pada Rabu. - Gambar hiasan

BANGKOK - Thailand bersiap sedia hadapi kemungkinan hujan lebat dan banjir kilat susulan taufan Noru kini bergerak menghala ke arah barat pada kelajuan kira-kira 35 kilometer (km) sejam dan dijangka mendarat di tengah Vietnam pada Rabu.

Jabatan Meteorologi Thailand memaklumkan, taufan dengan kelajuan angin kira-kira 150km sejam itu dijangka bertukar kepada ribut tropika dan melanda pelbagai kawasan selepas bergerak ke timur laut Thailand pada Rabu.

Iklan
Iklan

Jabatan itu memaklumkan, ribut tropika disertai monsun barat daya melanda Laut Andaman, selatan Thailand dan Teluk dengan membawa hujan lebat ke Utara, Timur Laut, dan bahagian Tengah termasuk Bangkok dan kawasan sekitarnya, manakala membadai Timur dan Selatan pada Rabu hingga 1 Oktober.

Semua wilayah berkenaan dijangka dilanda angin kencang di beberapa kawasan.

Iklan

"Orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian banjir kilat dan limpahan air mungkin berlaku terutama di sepanjang sungai berhampiran kaki bukit dan tanah pamah.

Jabatan Meteorologi menasihatkan semua kapal agar tidak turun ke laut mulai Selasa hingga Sabtu (1 Oktober).

Iklan

"Angin kencang mengakibatkan ombak setinggi dua hingga tiga meter di Laut Andaman dan sekitar Teluk, manakala ombak melebihi tiga meter jika berlaku ribut petir,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengambil langkah berjaga-jaga termasuk pelepasan air daripada terusan serta 2.5 juta beg pasir digunakan bagi mengukuhkan tembok bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Media sebelum ini melaporkan bahawa lima anggota penyelamat di Filipina maut akibat taufan Noru melanda utara negara itu, menyebabkan kejadian banjir dan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik. - Bernama