Syria Care, Yayasan EZ Prihatin meterai MoU bantu pelarian Syria

Iklan
Pertubuhan Syria Care dan Yayasan EZ Prihatin Memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjayakan Kempen Bantuan Musim Sejuk 10.0 yang bermula 21 September hingga 31 Disember ini.

SHAH ALAM - Pertubuhan Syria Care dan Yayasan EZ Prihatin memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjayakan Kempen Bantuan Musim Sejuk 10.0 yang bermula 21 September hingga 31 Disember ini.

MoU tersebut diwakili Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki dan Pengurus Operasi Yayasan EZ Prihatin, Muhammad Zulfadhli Mohamad Zain.

Iklan
Iklan

Menurut Siti Sakinah, kerjasama itu akan menggerakkan usaha mengumpul dana dan pakaian sejuk terpakai untuk kempen berkenaan serta Projek Warm Their Winter.

"Kempen ini secara keseluruhan untuk menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.7 juta merangkumi penghantaran kontena pakaian terpakai, bahan bakar termasuk diesel dan kayu api dan makanan.

Iklan

"Ini adalah satu platform yang tepat bagi Syria Care serta Yayasan EZ Prihatin untuk menzahirkan solidariti kemanusiaan.

"Kami mengambil tanggungjawab bersama dalam membantu pelarian di Syria yang bakal berdepan dengan musim sejuk tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian selepas majlis menandatangani perjanjian itu di pejabat Syria Care pada Selasa.

Iklan
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki menyerahkan cenderahati kepada Pengurus Operasi Yayasan EZ Prihatin Muhammad Zulfadhli Mohamad Zain

Ujar Siti Sakinah, pengumpulan pakaian musim sejuk akan diadakan di Laman 83 Event Space, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2 hingga 8 Oktober ini.

Menurutnya, tenaga sukarelawan turut diperlukan sepanjang tempoh mengumpulkan pakaian tersebut.

Sementara itu, Muhammad Zulfadhli berkata, dia berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama buat pertama kali dengan Syria Care bagi membantu masyarakat Syria menjelang musim sejuk.

Tambahnya, Yayasan EZ Prihatin akan menggerakkan pengumpulan dana minimum sebanyak RM300,000 bagi menjayakan kempen tersebut.

”Kami juga akan menghantar sukarelawan bagi membantu proses pengumpulan pakaian musim sejuk untuk diagihkan kepada rakyat Syria yang terkesan akibat peperangan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin menyumbang boleh hubungi Suria Care di talian 03-55234077 atau 011-28809820.