MELAKA - Seorang pekerja swasta bersama tiga anak perempuannya nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, terbakar pada awal pagi Selasa.
Kejadian jam 1.40 pagi itu disedari anak sulung, Liliwaty Kaharudin, 50, iaitu Nurin Sabrina Norizan, 23 yang sedang membuat tugasan kerja bersama adiknya Nurin Sofea Norizan, 22 yang merupakan pelajar sebuah universiti.
Menurutnya, sebelum kejadian anaknya terdengar bunyi percikan api dan turun di tingkat bawah namun terkejut melihat api dari arah pendingin hawa yang terletak di ruang tamu rumah.
"Anak sulung saya terus menjerit dan saya yang sedang tidur di bilik bawah terjaga dan segera menyelamatkan diri.
"Api begitu marak dan menyambar langsir serta sofa berhampiran sebelum 90 peratus rumah empat bilik itu terbakar," kata ketika ditemui.
Tambahnya, anak bongsunya berusia 15 tahun yang sedang tidur di tingkat atas turut terjaga selepas mendengar jeritan kakaknya.
Ujarnya, kebakaran itu turut mengakibatkan dua buah kenderaan jenis Honda Civic, BMW dan sebuah skuter Yamaha NVX 155 musnah terbakar selain sebuah kereta Honda CRV terbakar 15 peratus.
"Setakat ini jumlah kerugian belum dapat ditentukan namun saya reda dengan ujian ini dan bersyukur kami anak beranak terselamat," katanya memberitahu suaminya bekerja di luar negara.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan, Zahrul Azha Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 1.45 pagi sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran terkawal kira-kira jam 2.14 pagi sebelum operasi tamat 2.58 pagi.
"Punca kejadian akan diperolehi selepas siasatan unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.