KUALA LUMPUR - Tiga pelajar sekolah menengah antara yang ditahan kerana berlumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), di sini awal pagi Ahad.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, ketiga-tiga pelajar lelaki berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun itu antara yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar ibu negara pada hujung minggu.
Iklan
Iklan
"Pelajar berkenaan ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (AKK) 1955.
"Op Samseng Jalanan dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur di lebuh raya sekitar ibu negara," menurut hantaran berkenaan.
Sementara itu, JSPT Kuala Lumpur memaklumkan menahan dua remaja lelaki berusia 14 dan 19 tahun menerusi Op Motosikal di Jalan Raja Laut yang dijalankan bermula jam 9 malam hingga 4 pagi di sini pada Sabtu.
"Kedua-dua remaja terbabit ditahan di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.
"Dalam Operasi sama, sebanyak 106 saman dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan dan tiga buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan ( ekzos )," menurut kenyataan itu.