MANILA - Taufan Noru membadai pulau Luzon di Filipina, dengan hujan lebat dan angin pada hujung minggu, menyebabkan lapan orang maut dan tiga lagi hilang, kata agensi kerajaan pada Selasa.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan mengesahkan kematian lima penyelamat, yang dihanyutkan banjir kilat di Bulacan, wilayah utara Manila, beberapa jam selepas Noru melanda pada lewat petang Ahad.
Iklan
Iklan
Agensi itu berkata, ia menerima laporan mengenai tiga lagi kematian berkaitan taufan, satu di wilayah Quezon dan dua di wilayah Zambales. Agensi itu tidak memberikan butiran mengenai bagaimana ketiga-tiga mereka meninggal dunia. Agensi itu berkata, tiga lagi masih hilang di wilayah Bicol, tenggara Manila, lapor Xinhua.
Noru bergerak keluar dari Filipina pada malam Isnin selepas melintasi wilayah tengah Luzon.
Noru adalah taufan ke-11 dan paling kuat melanda Filipina tahun ini. Ia memusnahkan tanaman, merosakkan rumah, merobohkan talian elektrik, dan membanjiri beberapa kawasan di bahagian tengah pulau Luzon.
Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana semulajadi, terutama kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan laluan taufan Pasifik. Secara purata, negara kepulauan itu dilanda 20 taufan setiap tahun, dengan beberapa daripadanya kuat dan membawa kemusnahan. - Bernama