PORT DICKSON - Sejumlah RM3.8 juta aset milik sindiket pengedaran dadah disita Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejayaan itu susulan penangkapan seramai 4,336 individu berkaitan dadah dalam tempoh sama.
"Secara keseluruhannya JSJN berjaya menahan 549 pengedar dadah, 1,350 tangkapan atas kesalahan pemilikan dadah dan 2,437 individu atas kesalahan penyalahgunaan bahan berbahaya itu.
"Dalam tempoh tersebut, sebanyak 2,531 kertas siasatan telah selesai perbicaraan membabitkan nilai rampasan dadah anggaran bernilai RM270,680," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.
Selain itu katanya, JSJN telah melupuskan kesemua dadah terbabit dalam majlis pelupusan di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok di Port Dickson pada Selasa.
Ujarnya, pelupusan dadah itu membabitkan 11 kilogram (kg) heroin (RM147,400), 9kg ganja (RM22,500), 8kg methaphetamine (RM288,000), 158 gram ketamin (RM23,700) dan 2.5 kg eramin 5 (RM187,500).
"Turut dilupuskan adalah 135 gram pil ekstasi (RM6,750), 1,600 kg daum ketum (RM16,000), 2,753 liter air ketum (RM27,530) dan 13 liter kodein (RM1,300). Nilai keseluruhan adalah RM270,680," katanya.
Tambah Ahmad Dzaffir, JSJN Negeri Sembilan amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan terhadap pengedah dadah yang aktif dan melumpuhkan ekonomi mereka dengan menyita aset yang dimiliko melalui aktiviti yang menyalahi undang-undang.