KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk menyokong matlamat dan aspirasi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke arah merealisasikan ketersambungan yang lebih bermakna dan menyebarkan manfaat inovasi digital untuk semua.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sejak merdeka, Malaysia sememangnya adalah peserta yang aktif dalam kebanyakan aktiviti kesatuan itu.
Beliau berkata, justeru, Malaysia akan mengemukakan calon bagi menganggotai Majlis ITU.
"Ini sekali lagi menggambarkan komitmen kita untuk sama-sama berusaha dengan semangat kolaborasi, konsultasi, penyertaan dan multilateralisme ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya pada Persidangan Plenipotensiari ITU 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania.
Berkongsi perjalanan Malaysia ke arah mencapai ketersambungan sejagat dan transformasi digital lestari untuk rakyatnya, Annuar berkata, tiga pelan nasional iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan menyatukan ekosistem ekonomi digital Malaysia.
Beliau berkata, inisiatif itu menggariskan strategi Malaysia untuk mengesahkan negara sebagai ekonomi yang maju dari segi teknologi.
"Pelan Tindakan MyDIGITAL adalah inisiatif nasional bagi merubah Malaysia kepada negara yang berteraskan digital, berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.
"Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara pula adalah dasar negara yang luas dan menyeluruh ke arah memacu pertautan dalam merubah pembangunan sosioekonomi dalam negara melalui penggunaan teknologi 4IR secara beretika,” katanya.
Annuar berkata, RMK12 pula mengemukakan respons dasar yang komprehensif terhadap cabaran akibat pandemik Covid-19 dan pecutan penyesuaian teknologi bagi pembangunan inklusif dan menyelaras penyelidikan serta pembangunan ke arah pengkomersialan, penjanaan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, dalam ucapannya Annuar berkata, sebagai negara berbilang bangsa dan agama, semua rakyat Malaysia dianggap sebagai satu keluarga di bawah falsafah Keluarga Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, budaya, status sosioekonomi mahupun identiti berdasarkan geografi.
Beliau berkata sambungan dan ketersambungan bukan hanya memainkan peranan penting untuk menyatukan seluruh Keluarga Malaysia malah kini perlu dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia yang menghubungkan orang ramai di seluruh dunia - ‘Global Family’ atau Keluarga Dunia. - Bernama