[VIDEO] Kelong Paradise dicadang transit sementara Maritim

Iklan
Noh (depan kanan) bersama agensi berkaitan semasa meninjau Kelong Paradise pada Selasa.

SABAK BERNAM - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor mencadangkan untuk mewujudkan satu transit sementara (staging point) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor ditempatkan di Kelong Paradise di sini bagi memperkukuh lagi operasi penguatkuasaan di perairan Sabak Bernam.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini hanya terdapat dua pangkalan operasi iaitu di pangkalan Pelabuhan Klang dan pangkalan Lumut, Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi di dua pangkalan terbabit mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke perairan Sabak Bernam.

"Jarak perjalanan misalnya dari pangkalan Pelabuhan Klang sejauh 61 batu nautika dan ini sudah tentu menyukarkan pasukan penguat kuasa mengambil tindakan atas sebarang aduan daripada nelayan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Kelong Paradise di sini pada Selasa.

Iklan

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pada masa ini, kebanyakan nelayan pesisir pantai sering mengadu pencerobohan bot pukat tunda di kawasan zon larangan.

Selain itu, jelas beliau, kewujudan transit sementara Maritim Malaysia itu juga dapat menangani pencerobohan nelayan asing dan kegiatan haram lain yang berlaku di perairan negara.

Iklan

Ujar beliau, perkara itu, sebelum ini turut dibangkitkan dalam Mesyuarat MKN Selangor tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi mempercepatkan tindakan daripada Maritim sekiranya terdapat aduan.

Noh memberitahu, beberapa penambahbaikan perlu dibuat sebelum transit sementara yang menempatkan aset dengan penambahan kekuatan anggota itu dapat beroperasi sepenuhnya.

Jelas beliau, kelong itu juga perlu membuat pengubahsuaian tempat pendaratan dengan menyediakan kemudahan pontun (jeti terapung) bagi memudahkan bot ditambat di kawasan kelong.

"Kebanyakan bot Martim diperbuat daripada fiber dan jika bergesel dengan tangga tempat penambat bot sedia ada, ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan bot terbabit.

"Dengan adanya pontun ini ia bukan sahaja dapat digunakan oleh Maritim tetapi juga kepada pelancong untuk naik ke kelong terbabit," ujar beliau.