SHAH ALAM - Setelah bersiaran sebanyak 838 episod, program My #QuranTime sampai ke kemuncaknya dengan penganjuran Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang akan berlangsung pada 8 Oktober depan.
Program yang julung kali diadakan itu akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjelang sambutan Maulidur Rasul 1444H.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, 5,000 peserta dijangka akan menyertai acara khatam yang bertemakan ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah bersama al-Quran’ itu.
"Program My #QuranTime sebenarnya adalah program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) serta TV AlHijrah sebagai penyiar utama.
"Program ini bersiaran di TV AlHijrah pada jam 12 hingga 1 tengah hari secara langsung setiap hari bermula 8 Jun 2020.
"Pada permulaannya, program ini adalah kesinambungan Malaysia #QuranTime yang mula diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di platform TV AlHijrah dengan tujuan memberi pengisian rohani bagi rakyat Malaysia yang terkurung (Perintah Kawalan Pergerakan) di rumah akibat wabak Covid-19.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanze Harris; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF dan Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail dan qari My #QuranTime, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman serta Ahmad Tirmizi Ali.
Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, melihatkan kepada kejayaan program berkenaan, pihaknya mengambil keputusan untuk meneruskannya dengan penganjuran My #Qurantime 2.0
"Melalui program sebelum ini, kita telah perkenalkan asas tajwid dan tadabbur. Selepas ini kita nak tekankan kepada kefahaman dan elemen hafalan supaya apabila membaca al-Quran, mereka dapat membacanya dengan betul dan cuba menghafal surah-surah pendek itu supaya mereka boleh amalkan dalam solat mereka.
"Apa yang kita harapkan adalah solat mereka itu akan menjadi lebih berkualiti apabila dapat membaca surah dengan kefahaman. Insya-ALLAH, kita akan buat dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Tambahnya, MyQuran Time 2.0 akan menjadi lebih menarik kerana ia akan melibatkan penonton di dalam studio supaya mereka dapat belajar bersama-sama dan bacaan terus dapat dibetulkan.
Bagi tujuan itu, pihak WUIF sedang mempersiapkan sebuah studio di Kumpulan Karangkraf untuk digunakan selama tiga tahun.
Sementara itu, Marhaini berkata, setakat ini sejumlah 1,557 peserta telah mendaftar bagi menyertai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 dan pihaknya kini sedang giat mempromosikan program berkenaan bagi menarik lebih ramai peserta.
"My #QuranTime dijayakan dengan penglibatan asatizah daripada pelbagai latar belakang pendidikan. Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti My #Quran Time di TV AlHijrah dan media sosial.
"Jadi, kita harapkan pada ‘hari besar’ nanti, peserta setia dari seluruh negara dapat menyertainya. Ia sebagai tanda kejayaan mereka yang bersama-sama menjadi pemangkin masyarakat untuk membudayakan al-Quran pada tahap lebih tinggi,” jelasnya.