SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengagihkan RM2.38 juta ke dalam akaun 44,758 pendeposit Simpan SSPN Prime sebagai ganjaran kesetiaan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, agihan itu adalah sebagai menghargai pendeposit yang menyertai Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 yang berlangsung pada 22 Februari 2022 hingga 30 April 2022 lalu.
"Kempen ini menawarkan ganjaran pada kadar satu peratus sebagai ganjaran tambahan, selain dividen tahunan serta tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.
"Pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2018 membuat simpanan terkumpul minimum sebanyak RM500 dan tidak membuat pengeluaran simpanan dalam tempoh kempen sehingga 31 Julai 2022 layak untuk menyertai kempen ini.
"Ganjaran kesetiaan pada kadar 1 peratus tersebut telah dimasukkan ke dalam 44,758 akaun Simpan SSPN Prime yang layak, melibatkan peruntukan berjumlah RM2.38 juta.
"Mereka boleh membuat semakan di penyata Simpan SSPN Prime melalui Portal Rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my atau aplikasi mudah alih myPTPTN mulai 15 September 2022 lalu,” katanya.
Jelas Ahmad Dasuki, jumlah deposit Simpan SSPN Prime yang diterima melalui kempen berkenaan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM238.3 juta.
Menurutnya, ia menunjukkan bahawa Kempen Ganjaran Kesetiaan itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia dalam membudayakan amalan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.
"Sehingga 31 Ogos 2022, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM1.92 bilion atau 68.65 peratus daripada sasaran tahun 2022 berjumlah RM2.8 bilion.
"Kita harap mereka terus membuat simpanan di dalam Simpan SSPN Prime kerana ia menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.
"Pendeposit Simpan SSPN juga berpeluang memenangi hadiah hebat bernilai hampir RM1 juta melalui promosi Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2022 dengan hadiah utama berupa kereta Mercedez-Benz A250 AMG Line,” katanya.