KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Istana Negara pada Selasa.
Keberangkatan tiba Seri Paduka, yang merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, pada 8.45 malam turut diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
Turut hadir 400 tetamu terdiri daripada pereka fesyen tempatan dan delegasi penggiat tekstil dari 13 negara yang mengambil bahagian dalam simposium yang berlangsung sejak 25 September hingga Jumaat ini.
Acara malam ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta pertunjukan busana tradisional termasuk songket dan tenun Pahang.
Persembahan kebudayaan itu bagi memperkenal keunikan serta kepelbagaian kesenian, budaya dan etnik Malaysia kepada wakil-wakil negara luar.
Simposium itu, yang diadakan secara dwitahunan, bertujuan menghimpunkan penggiat seni tekstil ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan masing-masing.
Simposium anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik selain teknik pembuatan warisan Melayu seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Sempena simposium itu, 19 kertas kerja akan dibentang oleh wakil 13 negara termasuk Brunei, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar khususnya bagi membincangkan pemeliharaan seni serta kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN. - Bernama