Kos makin naik, pembeli pula kurang

Iklan
Beberapa penjaja duduk berbincang sambil menunggu pelanggan membeli makanan yang dijual mereka di Taman Wira Mergong, Alor Setar.

APA Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah dihadapi golongan penjaja dan peniaga kecil yang mengeluh akibat terkesan teruk dengan kenaikan harga bahan mentah ketika ini.

Mereka bimbang kehilangan lebih ramai pelanggan sekiranya menaikkan harga jualan.

Iklan
Iklan

Bahkan, bilangan pembeli juga semakin merosot sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan orang ramai berjimat cermat dalam menghadapi ekonomi tidak menentu.

Ikuti laporan wartawan NURUL HIDAYAH HAMID bagi mendengar sendiri keluhan penjaja dan peniaga kecil sekitar daerah Alor Setar.

Iklan

Harga barangan mentah yang semakin meningkat ketika ini memberi kesan kepada penjaja dan peniaga kecil apabila terpaksa mengeluarkan modal lebih untuk berniaga.

Kebanyakan peniaga yang ditemui di daerah ini mengakui tertekan dengan situasi tersebut, namun terpaksa meneruskan perniagaan walaupun adakalanya rugi kerana hanya itu satu-satunya mata pencarian mereka.

Iklan

Peniaga kuih-muih, Rusni Mohamad, 56, berkata, penjaja dan peniaga kecil ketika ini umpama ‘berniaga dalam rugi’ walaupun sudah berusaha sedaya upaya lebih daripada biasa.

Bagaimanapun, dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali meneruskan perniagaan walaupun mengalami kerugian.

"Contohnya, harga kacang dal dahulu RM18 sekilogram, kemudian naik setiap minggu dan kini sudah mencecah hampir RM40 sekilogram.

"Tepung gandum pun sudah semakin mahal mencecah RM36 untuk sekotak. Tapi saya tetap perlu menggunakan banyak bahan mentah itu untuk buat kuih-muih,” katanya kepada Sinar Harian.

Rusni berkata, harga bahan mentah mula meningkat sejak beberapa bulan lalu dan tidak pernah turun sehingga kini.

Menurutnya, peniaga tidak boleh menaikkan harga makanan sesuka hati kerana ia akan menyebabkan pelanggan marah dan lari.

"Nak jual harga biasa, kami tidak dapat apa-apa untung. Kalau nak naikkan harga, nanti orang tidak beli pula. Mahu tak mahu, kami peniaga terpaksa teruskan berniaga,” ujarnya.

Rusni berkata, dia dan peniaga-peniaga lain sebenarnya sudah tidak tahan untuk berdepan dengan kenaikan harga barangan tersebut.

Malah, katanya, ada masanya kuih-muih dijual tidak habis menyebabkan dia ‘termenung’ memikirkan cara untuk memusing modal.

"Setiap hari kami terpaksa fikirkan modal untuk esok. Kalau kuih tak habis dijual, kami tidak boleh jual semula keesokannya, sebaliknya akan berikan secara percuma kepada orang lain.

"Tapi kalau laku pun, dapat untung dalam RM10 hingga RM20 sahaja. Untung itulah yang akan digunakan untuk modal esoknya,” katanya.

Bagi peniaga minuman, Mohd Zon Saad, 52, keadaan ekonomi ketika ini amat merungsingkan dirinya.

Jelasnya, jika sebelum ini RM200 digunakan untuk membeli bahan mentah, tapi sekarang dengan kuantiti sama harganya sudah melebihi RM300.

Malah, katanya, kebanyakan peniaga terpaksa menanggung kos gaji dan upah pekerja yang turut meningkat.

"Takkanlah kami perlu jual air minuman, contohnya Milo ais sampai RM4 segelas. Itu dah melampau,” katanya.

Seorang lagi peniaga minuman, Sakinah Mohd Yusoff, 43, berkata, dia terpaksa menutup kedai lebih awal untuk mengurangkan kos operasi.

"Jika dahulu kedai saya meriah dengan kehadiran pelanggan, tapi sekarang makin lengang menyebabkan saya terpaksa tutup awal, sekitar 9 malam berbanding awal pagi sebelum ini,” katanya.

Sakinah berkata, dia perit memikirkan segala perbelanjaan termasuk keperluan rumah berikutan pendapatan yang terjejas.

"Setiap hari, saya terpaksa mengeluarkan modal yang banyak berbanding sebelum ini untuk membeli barang perniagaan. Tapi untung saya dapat amat kecil. Bagaimana nak tampung keperluan harian?” katanya.

Bagi seorang lagi peniaga, Rosnani Abdul Lajah, 52, dia terpaksa meneruskan perniagaan menjual bihun goreng walaupun kadangkala mengalami kerugian.

"Bukan sahaja isu harga, masalah barangan sukar diperoleh seperti minyak peket juga membelenggu peniaga. Apa pun saya tetap kena meniaga untuk menyara kehidupan,” katanya.

Beri geran modal, bantuan kewangan sekali bayar

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid memberi saranan kepada kerajaan supaya mewujudkan semula bantuan geran modal dan bantuan kewangan secara one-off atau sekali bayar kepada penjaja dan peniaga kecil yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga bahan mentah.

Katanya, langkah berkenaan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban golongan berkenaan sekali gus bernafas semula untuk meneruskan perniagaan.

Menurutnya, ramai penjaja dan peniaga kecil mengadu terbeban dan terpaksa mengeluarkan modal lebih besar disebabkan harga bahan mentah semakin meningkat.

"Sudahlah kami terkesan dengan kenaikan harga barangan, malah dalam keadaan ekonomi sekarang, nak dapat pembeli pun payah. Nak buat modal pusingan untuk esok hari memang sukar,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Kholib berkata, untuk memastikan tidak ada penjaja dan peniaga kecil tercicir daripada menerima bantuan itu, dia mencadangkan agar ia disalurkan berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Penjaja dan peniaga kecil boleh menggunakan bantuan kewangan sebagai modal meniaga, malah membantu kelangsungan perniagaan mereka dalam situasi sukar ketika ini,” katanya.

Mohd Kholib berkata, pemberian bantuan perniagaan perlu dilaksanakan segera untuk memastikan penjaja dan peniaga kecil tidak gulung tikar.

Dia bagaimanapun tidak menafikan penjaja dan peniaga kecil ada menerima bantuan dalam bentuk peralatan seperti khemah, namun tidak cukup untuk membantu dari segi pendapatan.

"Mereka ini biasanya sudah mempunyai peralatan berniaga. Jadi, peniaga lebih memerlukan bantuan lain iaitu dalam bentuk kewangan untuk membangunkan semula perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperbanyakkan lagi tapak penjaja dan peniaga kecil yang strategik.

"PBT juga boleh membantu dengan memberi pengecualian bayaran lesen penjaja seperti dilakukan di Selangor,” ujarnya.