SHAH ALAM - Tindakan kerajaan yang tidak melibatkan pembangkang dalam merangka Bajet 2023 sebagaimana tahun sebelumnya menyebabkan wujudnya persepsi bajet ‘gula-gula’ dalam menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, jika kerajaan terbuka kepada semua pihak untuk menghasilkan bajet yang benar-benar menumpukan soal kestabilan ekonomi dan masalah dihadapi rakyat, semua pihak perlu dilibatkan bersama.
Bagaimanapun jelasnya, ia tidak berlaku dan pastinya akan ada teguran dan komen daripada pembangkang semasa perbahasan Bajet 2023 nanti.
"Bagi mengelakkan ia dipolitikkan, amalan untuk merangka Bajet 2022 patut diteruskan. Dengan adanya penglibatan pembangkang, tidaklah bererti apa sahaja yang dicadangkan pembangkang itu harus diterima.
"Apabila tidak ada keterlibatan ini, maka timbullah tanggapan bajet yang nak dibentangkan ini ada banyak aspek ‘gula-gula’ untuk menghadapi pilihan raya.
"Kalau ia dilakukan dengan jujur dan secara telus, maka mereka tentu akan terus amalkan kerjasama antara pembangkang dan kerajaan untuk merangka bajet terbaik untuk rakyat,” katanya dalam Wacana Sinar siri ke-366 bertajuk Bajet 2023: Rakyat atau...? yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program yang dikendalikan moderator, Ismail Adnan itu turut menampilkan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ketua Pegawai Eksekutif PEACE (Policy and Economic Affairs Centre of Malaysia Foundation), Dr Zokhri Idris sebagai panelis.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, kerajaan juga harus memastikan bajet yang dirangka itu bukan sekadar indah dan cantik di atas kertas.
"Sebagai contoh, projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak yang menyebabkan rakyat rugi berbilion ringgit.
"Inilah yang kita hadapi sehingga negara menanggung hutang yang besar tetapi apa yang sepatutnya tercapai melalui perbelanjaan itu tidak berlaku.
"Bagi mencapai bajet yang mapan, ekonomik dan baik, ia tak boleh dipisahkan dengan adanya ketelusan, pertanggungjawaban dan adanya kawalan serta pemantauan dari segi pelaksanaan projek-projek berkenaan.
"Hakikatnya, ia berkisarkan tadbir urus baik yang perlu dilaksanakan dan hanya dapat dicapai jika kerajaan mempunyai kemahuan politik untuk menangani isu ketirisan yang menjadi amalan biasa di negara ini,” jelasnya.