Majikan wajib tunggu ketibaan pekerja asing baharu di KLIA

Iklan
Khairul Dzaimee. Gambar kanan : (Imigresen menafikan kenyataan yang dibuat dalam hantaran di media sosial Facebook oleh seorang individu mengenai pengurusan masuk pekerja asing.)

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan tohmahan di laman sosial Facebook kepada jabatan itu mengenai pengurusan masuk pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, majikan adalah diwajibkan menunggu ketibaan pekerja asing baharu mereka di KLIA.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majikan perlu bertanggungjawab menguruskan dokumentasi dan membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja tersebut.

"Peraturan imigresen memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk datang ke KLIA dan menerima pekerja-pekerja asing mereka.

Iklan

"Dalam keadaan tertentu, tempoh ini akan dilanjutkan. Pekerja-pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar seperti mana dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, peraturan itu bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah.

Iklan

Jelasnya, kegagalan majikan mematuhi peraturan itu akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan notis ‘Not to Land’ (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal.

Menurut Khairul Dzaimee, sejak pembukaan semula sempadan negara, imigresen telah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 bagi tempoh 1 April sehingga 26 September.

Katanya, jabatan itu berasa kesal dengan tuduhan yang tidak berasas yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"JIM sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Sebelum ini terdapat satu hantaran menerusi Facebook mempersoalkan tindakan menghantar balik pekerja asing yang tidak diambil selepas enam jam tiba di KLIA, dan kononnya imigresen tidak mahu mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kelewatan.