COPENHAGEN - Kebocoran pada saluran paip gas Nord Stream berhampiran Pulau Denmark di Laut Baltik adalah disebabkan oleh perbuatan sabotaj, kata Perdana Menteri negara itu, Mette Frederiksen pada Selasa.
"Nasihat jelas daripada pihak berkuasa bahawa ia adalah tindakan yang disengajakan. Kami tidak bercakap mengenai kemalangan," katanya pada sidang media.
Iklan
Iklan
Copenhagen menjangkakan kebocoran di saluran paip yang tidak beroperasi tetapi penuh dengan gas akan bertahan sekurang-kurangnya seminggu sehingga metana yang keluar dari paip bawah air kehabisan, kata Menteri Tenaga dan Iklim, Dan Jorgensen.
"Kami belum mempunyai maklumat lagi tentang pihak yang bertanggungjawab," tambah Frederiksen.
Saluran paip Nord Stream 1 dan 2 telah menjadi pusat ketegangan geopolitik sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Rusia memotong bekalan gas ke Eropah sebagai satu tindakan balas.
Tindakan balas disyaki dilakukan berikutan sekatan Barat ekoran pencerobohannya ke atas Ukraine pada Februari lalu.
Walaupun saluran paip itu dikendalikan oleh konsortium yang majoritinya dimiliki oleh gergasi gas Rusia, Gazprom, ia sebenarnya tidak beroperasi pada masa ini tetapi kedua-duanya masih mengandungi gas. - Agensi