Linda suka jamu Sasha pilih makanan organik

Iklan
Linda dan Sasha bertemu ketika menyertai kumpulan Elite

ZAMAN kemegahan kumpulan Elite telah lama berlalu. Namun, tali persahabatan antara dua ahlinya iaitu Sasha Saidin dan Linda Rafar masih kekal utuh.

Buktinya, mereka teruja tatkala penulis memaklumkan bahawa kedua-duanya akan digandingkan untuk muka depan WOW Femina pada minggu ini.

Iklan
Iklan

Kata Linda:"Saya menganggap Sasha dan semua ahli kumpulan Elite sebagai rakan baik bukannya, sebagai rakan sekerja. Itu formula kami kekal berkawan baik hingga ke saat ini.

"Kami akui, terdapat pelbagai ranjau dan ujian dalam persahabatan sejak mula kami mengenali antara satu sama. Seingat kami ketika itu masing-masing masih belasan tahun lagi. Namun, Alhamdulillah, silaturahim masih kuat."

Iklan

Selain Sasha dan Linda, Elite dianggotai ahli-ahli lain seperti Azza, Abby dan Watie.

Linda dan Sasha bertemu ketika menyertai kumpulan Elite

Sedar tidak sedar, Linda dan Sasha sudah melewati alam rumah tangga. Linda sibuk dengan rutin hariannya sebagai ibu kepada lima orang cahaya mata dan isteri kepada Syed Aiman.

Iklan

Pemilik nama sebenar Azlinda Rafar ini juga memiliki produk sendiri iaitu LR Flawless Skincare dan Uno1 Classic Juice. Menariknya lagi, beliau baru sahaja dilantik sebagai duta kepada syarikat Financial Genius Grup dan jenama Khimar by Ameliahassan yang terkenal dengan rekaan baju Muslimah.

Sementara Sasha yang berstatus ibu tunggal tetap bersemangat bersama anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarosono, 5. Sekali-sekala wanita kacukan Inggeris-Melayu ini berlakon di samping tampil di pentas peragaan.

Terlalu banyak perubahan berlaku kepada dua selebriti ini. Namun, satu perkara yang tidak boleh dinafikan, Linda dan Sasha yang tinggi lampai masih kekal jelita meskipun masing-masing sudah menjengah usia 40-an.

Linda kini berumur 41 tahun sementara Sasha, 43 tahun. Kepada WOW Femina kedua-dua ibu cantik ini berkongsi rahsia kecantikan mereka.

Ikuti temu bual bersama dua ibu jelita ini di Studio Karangkaraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

1. Apa definisi kecantikan bagi Linda dan Sasha?

LINDA: Bagi saya, kecantikan itu bermula dari dalaman diri kita. Arwah mak pernah mengajar saya mengenainya. Antaranya ialah dengan mengambil jamu dan senaman yang berpatutan.

Saya juga selalu dinasihatkan agar sentiasa mengawal pemakanan sehari-hari.

Sebenarnya, saya lebih selesa dengan cara itu dan bukannya dengan rawatan zaman moden ini seperti laser dan lain-lain. Saya memang tidak berminat dan takut untuk melakukannya.

SASHA: Walaupun bunyinya sangat klise tapi bagi Sha, ia bergantung kepada hati yang bersih. Jika kita ada perasaan iri hati, sentiasa ingin bersaing dengan orang, mereka ini tidak dikategorikan sebagai seorang yang cantik.

Apabila hati kita bersih, kita akan lihat Nur atau cahaya terpancar pada wajah seseorang wanita meskipun mereka tidak mengenakan mekap yang tebal.

2. Apakah amalan kecantikan yang Linda dan Sasha amalkan sejak zaman remaja lagi? Boleh kongsi sedikit?

LINDA: Seperti yang saya sebut tadi, saya makan jamu. Ya, walaupun ia pahit namun khasiatnya begitu hebat sekali.

Seminggu sekali, saya akan buat lulur di rumah. Lulur penting kerana ia membantu saya membuang kotoran dan kulit mati pada badan.

Di samping itu, pada setiap pagi dan malam, saya memperuntukkan lebih kurang 10-15 minit untuk bersenam.

SASHA: Bagi Sha, perkara yang Sha akan tekankan ialah mencuci mekap selepas membuat persembahan atau peragaan.

Sebelum Sha tidur, Sha akan bersihkan wajah dengan menggunakan toner. Sha berpendapat, proses ini penting bagi memastikan kulit muka Sha kembali bernafas.

Pada sebelah malam pula, Sha akan memakai krim yang dikhususkan untuk waktu malam. Kepada semua wanita, Sha rasa penting mereka memakai krim malam sejak awal remaja bagi membantu kulit sentiasa lembap di samping menghindari masalah jeragat.

Kalau Sha keluar atau bekerja pada waktu matahari terik, Sha akan memakai krim pelindung cahaya matahari. Selain itu, Sha akan minum banyak air setiap hari.

3. Walaupun Linda dan Sasha sudah memasuki usia 40-an, anda berdua nampak ceria, cergas dan bertenaga. Apa rahsia?

LINDA: Saya amalkan minum Uno1 Classic Juice. Produk ini sangat istimewa bagi saya kerana ia terkandung makanan sunah seperti kurma. Jus ini juga menggunakan stevia yang merupakan pemanis dan pengganti gula yang diekstrak. Ini adalah produk saya sendiri. Saya hasilkannya sendiri.

SASHA: Sha cenderung kepada makanan organik. Mak Sha banyak membantu Sha dalam hal ini. Semua bahan yang dimasak di rumah mestilah berasaskan bahan organik.

Itu bab makan. Kalau sakit, kami akan gunakan bahan organik juga seperti madu dan kurma. Jika masih tidak sembuh, barulah kami mendapatkan rawatan di klinik. Itulah pilihan terakhir Sha.

Linda tidak suka rawatan laser untuk kelihatan cantik

4 Apa yang anda berdua lakukan untuk mengeluarkan peluh?

LINDA: Seminggu sekali saya akan ke gimnasium atau membuat senaman zumba. Jika sibuk, saya akan pastikan diri saya membuat aktiviti ringan di rumah bagi mengeluarkan peluh.

SASHA:Sekiranya ada masa, Sha suka pergi mendaki bukit dan berenang. Kalau nak tahu, dulu Sha merupakan atlet renang di sekolah.

Apabila Sha berenang, Sha akan rasa lebih tenang dan santai untuk memikirkan masalah yang dihadapi.

Sha juga suka berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke sesuatu tempat di sekitar bandar Kuala Lumpur. Ia satu senaman yang santai dan seronok untuk dilakukan sebenarnya.

5 Boleh kongsi berat badan anda berdua? Apa yang menyebabkan anda masih kekal langsing meskipun masing-masing sudah beranak-pinak?

LINDA: Berat saya semasa anak dara dahulu, 42 kilogram. Berat badan saya pernah naik dan turun sepanjang saya mengandung anak pertama hingga anak kelima. Kini, (berat) 58kg.

Saya sebenarnya bukan seorang yang jenis memilih sangat makanan untuk dimakan. Namun, saya jenis yang akan makanan dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya, untuk sepotong kek, cukup hanya dua sudu sahaja.

SASHA:Metabolisme Sha sekarang tidak seperti zaman remaja. Dahulu, Sha boleh makan banyak tetapi berat tetap tidak naik.

Kini, Sha lebih berjaga-jaga. Tetapi Sha suka makan nasi, kalau masakan itu pedas, lagi bertambah nasi yang Sha ambil.

Kalau Sha rasa sudah makan terlalu banyak, Sha tidak akan mengambil nasi dalam masa terdekat.

Sha juga akan bersenam namun pada kadar yang setimpal sahaja.

6. Apa barangan atau makanan wajib yang perlu ada dalam peti sejuk Linda dan Sasha?

LINDA:Sayur-sayuran seperti asparagus, brokoli dan buah-buahan seperti epal dan oren. Begitu juga dengan ulam.

Kebiasaannya, suami saya akan beli ulam untuk makan dengan budu. Suami saya orang Kelantan. Namun, dia tidak suka makan makanan manis. Secara tidak langsung, saya terikut sama dan ia bagus untuk kami sekeluarga.

SASHA:Barangan dapur Sha berbeza sewaktu bergelar isteri dan sekarang ini. Bekas suami Sha dahulu suka masak dan banyak barang yang dibeli. Sekarang ini, Sha hanya suka membeli. Sekali-sekala sahaja Sha masak.

Namun dari dulu hingga kini, peti sejuk Sha wajib ada susu coklat dan milo. Dua minuman ini membantu Sha menghindari penyakit darah rendah yang Sha hadapi.

Sasha pilih makanan organik


7. Kelazimannya, apa yang Linda dan Sasha lakukan apabila berada dalam tekanan?

LINDA: Kembali mengingati Allah SWT. Berzikir banyak-banyak. Bila sudah berasa lapang, saya akan tidur seketika atau pergi ke spa.

SASHA: Sha cukup bertuah dikelilingi oleh insan yang baik hati dan ikhlas membantu apabila Sha perlukan. Ibu juga sumber kekuatan Sha. Apa sahaja Sha akan luahkan kepadanya.

Sha juga akan 'mengadu' kepada kepada ALLAH SWT. Sha sentiasa berdoa dan meminta perkara yang baik-baik sahaja berlaku.

ANEKDOT

Profil Linda Rafar

Nama sebenar: Azlinda Rafar

Umur: 41 tahun

Kerjaya Seni: Salah seorang kumpulan Elite yang popular dengan lagu Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu dan Trauma.

Kerjaya Lakonan: Pernah membintangi filem Litar Kasih (1996) dan Awas (1995)

Keluarga: Mempunyai lima cahaya mata iaitu Rezaril Keiflin, 18, Rezalman Keiflin, (meninggal pada usia 12 tahun pada tahun 2014) bersama suami terdahulu. Perkahwinan keduanya bersama Syed Aiman adalah pada 2 Disember 2006. Linda dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Syed Rezaqlib, 11, Syed Rezarliq,8, dan Syed Syed Rezaliif, 3.

Profil Sasha Saidin

Nama Sebenar: Sasha Mohd Saidin

Umur: 43 tahun

Kerjaya seni: Salah seorang kumpulan Elite yang popular dengan lagu Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu dan Trauma.

Kerjaya Lakonan: Kakak kepada pelakon Zain Saidin itu menjadi model sejak berusia 7 tahun lagi. Antara iklan yang pernah dibintanginya ialah McDonalds, Magggi Cook It Right, Nestle, Clorets, Fair & Lovely dan Bufori. Lakonan pertamanya adalah menerusi filem Sama Tak Serupa. Filem dan drama lain ialah Ilusi, Misteri Karina, Mayang Mengurai, Warkah Buat Atikah, Nenek Misteri dan Gemilang.

Keluarga: Beliau pernah berkahwin dengan Salyo Priyanto Nutosoemarsono yang merupakan warganegara Indonesia pada tahun 2007. Sasha dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono. Sebelum perkahwinan itu, selebriti jelita ini pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner.