PERAK FC menyambut baik pengumuman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membatalkan perlawanan playoff sekaligus menyaksikan pasukan Seladang itu layak bertanding di Liga Super 2023 secara merit.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, dengan pengumuman kini pasukannya mampu untuk melakukan persediaan dengan lebih awal bagi bersaing dalam Liga Super pada musim hadapan.
"Kini Perak FC boleh membina skuad dengan lebih teliti dan realistik untuk bersaing dalam Liga Super bersama pasukan-pasukan yang terhebat di liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa tiada aksi playoff bagi slot Liga Super 2023 susulan beberapa Kelab Liga Amatur M3 tidak menepati kriteria kelab profesional.
Menurut kenyataan tersebut, kesemua kelab itu tidak melepasi syarat yang ditetapkan dan ada yang tidak dapat melengkapkan dokumentasi yang diperlukan untuk mendapatkan lesen.
Dalam pada itu, Abdul Azim turut berjanji kepada peminat akan cuba memberikan lebih baik berbanding apa yang ditampilkan pada musim ini.
Malah beliau juga turut berterima kasih kepada semua pihak antaranya pihak pengurusan kelab dan penyokong setia The Bos Gaurus yang sentiasa memberikan sokongan padu meskipun berhadapan situasi yang sukar sebelum ini.
"Sebagai tanda penghargaan, kami ingin mengucapkan terima kasih atas kerja keras pihak pengurusan serta semua kakitangan Perak FC dan dalam usaha untuk memastikan Perak FC mematuhi syarat-syarat pelesenan kelab, tanpa mengira posisi Perak FC di liga.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Perak FC yang tidak putus-putus menyokong kami pada tahun ini walaupun berada di dalam keadaan yang sukar.
"Dengan kembalinya Perak FC ke Liga Super, kami akan mencuba sesuatu yang baru untuk memastikan penyokong akan berasa bangga yang anda peminat setia Perak FC,” katanya.