SINGAPURA - Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas dia didakwa membawa bom di dalam sebuah pesawat penerbangan Singapore Airlines, kata pihak berkuasa itu pada Rabu.
Lelaki itu juga ditahan selepas dia didakwa menyerang kru kabin ketika berada di dalam pesawat tersebut.
Menurut polis, dia mendakwa bom tersebut terdapat di dalam beg yang dibawa menaiki pesawat itu.
Lelaki itu kemudian ditangkap kerana membuat ugutan palsu dan disyaki mengambil dadah.
Dia dipercayai bukan warga Singapura dan kejadian tersebut berlaku pada pagi Rabu.
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi pada jam 5.50 pagi setelah diiringi oleh dua jet pejuang F-16C/D Tentera Udara Republik Singapura, kata polis.
Ancaman bom yang dibuat oleh lelaki tersebut kemudian didapati palsu.
Pesawat itu tiba di Singapura setelah berlepas dari San Francisco, Amerika Syarikat
Sesiapa yang didapati bersalah membuat dakwaan palsu boleh dihukum denda tidak melebihi S$500,000 (RM1.5 juta) atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. - Agensi