Purata jangka hayat rakyat Malaysia menurun

Iklan
Statistik jangkaan hayat di Malaysia mencatatkan penurunan sejak 2020. (Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR - Bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada 2022 secara purata dijangka hidup selama 73.4 tahun iaitu sedikit menurun berbanding 74.5 tahun bagi bayi yang lahir tahun lepas, menurut statistik Jangkaan Hayat Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Menurut jabatan itu, statistik jangkaan hayat di negara ini mencatatkan penurunan sejak 2020 adalah disumbangkan oleh faktor peningkatan lebihan kematian semasa pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Berdasarkan statistik berkenaan golongan perempuan dijangka hidup lebih lama berbanding lelaki dengan perbezaan jangkaan hayat 4.5 tahun pada 2022.

"Bayi lelaki yang lahir pada 2020 secara purata dijangka hidup sehingga 72.5 tahun; 72.3 tahun (2021) dan 71.3 tahun bagi yang lahir pada 2022, manakala bayi perempuan yang lahir pada 2020 dijangka hidup sehingga 77.2 tahun; 77 tahun (2021) dan 75.8 tahun (2022),” menurut jabatan itu.

Iklan

Sementara itu, data turut merekodkan lelaki dan perempuan yang mencapai usia 15 tahun pada tahun ini, masing-masing dijangka hidup sehingga 56.9 tahun dan 61.3 tahun lagi.

Bagi lelaki dan perempuan berumur 60 tahun pada 2022 masing-masing dijangka hidup selama 17.5 dan 20.1 tahun lagi iaitu sehingga usia mereka sekitar 77.5 tahun (lelaki) dan 80.1 tahun (perempuan).

Iklan

"Lelaki dan perempuan berumur 65 tahun pada 2022 masing-masing dijangka hidup selama 14.2 tahun dan 16.4 tahun lagi. Ini bermakna mereka dijangka hidup sehingga berusia 79.2 tahun bagi lelaki dan perempuan, 81.4 tahun,” menurut Jabatan Perangkaan.

Jabatan itu memaklumkan, etnik Cina mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi dengan lelaki, 73.5 tahun dan perempuan, 79.4 tahun.

Enam negeri mencatatkan jangkaan hayat melebihi paras nasional (73.4 tahun) adalah Selangor dengan 75.2 tahun, Wilayah Persekutuan Putrajaya (74.5 tahun), Wilayah Persekutuan Labuan (74.5 tahun), Sarawak (74.3 tahun), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (74.0 tahun) dan Sabah (73.5 tahun) pada 2022.

Selangor mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi 2020 hingga 2022, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2020 dan 2021, sementara Kedah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah tahun ini. - Bernama