SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan ucapan tahniah kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MbS) yang diumumkan sebagai Perdana Menteri Arab Saudi pada Rabu.
Menerusi satu hantaran ringkas di Facebooknya, Ismail Sabri berkata, pelantikan itu diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.
Iklan
Iklan
"Malaysia berharap akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala di bawah pimpinan Yang Amat Mulia khususnya dalam meneroka bidang kerjasama baharu dengan Arab Saudi,” katanya pada Rabu.
MbS yang telah menjadi 'pemerintah de facto' kerajaan selama beberapa tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan di bawah Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Jawatan Menteri Pertahanan kini diambil alih adiknya, Khalid bin Salman yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertahanan, menurut dekri Raja Salman yang diterbitkan oleh agensi akhbar rasmi Arab Saudi.
Ketua kementerian kritikal lain, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Tenaga dikekalkan.
Putera Mohammed, 37 tahun, diangkat sebagai putera mahkota pada 2017 bagi menggantikan bapanya sebagai raja.