SHAH ALAM - Tahun 2020 bukan sahaja mencipta sejarah pahit buat Malaysia tetapi seluruh dunia susulan kemunculan virus Covid-19 yang mencetuskan pandemik, sekali gus merencatkan kehidupan manusia.
Kes pertama wabak yang dikatakan berasal dari Wuhan, China itu mula dikesan di Malaysia pada Januari tahun sama membabitkan warganegara dari negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia itu.
Akhirnya, jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut itu semakin merebak hingga mencetuskan pandemik dan memaksa kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin ketika itu, mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan.
PKP yang dilaksanakan ketika itu menyaksikan semua operasi perniagaan ditutup kecuali melibatkan perkhidmatan perlu. Rakyat tidak dibenarkan keluar, melainkan untuk membeli barangan keperluan harian, mendapatkan rawatan kesihatan dan kes-kes kecemasan.
Susulan pelaksanaan PKP yang bermula Mac 2020 itu, Malaysia mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari dan keadaan ekonomi terus merudum, ramai rakyat tiada pendapatan.
Menurut perangkaan Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus pengangguran direkodkan di Malaysia pada Jun 2021 akibat PKP.
Keadaan menyaksikan banyak premis terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat beroperasi, malah negara turut dibebankan dengan jumlah pesakit Covid-19 yang terus meningkat.
Kes-kes baharu Covid-19 melonjak dan kes harian paling tinggi pernah direkodkan adalah sebanyak 33,406 kes.
Bagaimanapun, dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan terutamanya melalui program vaksinasi, ia berjaya menurunkan kes jangkitan sehinggalah Malaysia diumumkan memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.
Fasa ini menyaksikan ekonomi negara kembali bergerak di landasan ditambah dengan pelbagai peruntukan turut diberikan oleh kerajaan sebagai langkah untuk memulihkan kembali sektor penting itu.
Bantuan Keluarga Malaysia
Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh kerajaan kini melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan ‘talian hayat’ terpenting untuk rakyat kembali bangkit.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, BKM itu bukan memberi kelegaan buat golongan B40, malah kepada M40 juga.
"Selepas kerajaan mengumumkan peralihan ke fasa endemik, kita dapat lihat momentum ekonomi menunjukkan kesan positif, ditambah dengan persekitaran ekonomi yang meningkat.
"Jadi, pelbagai peruntukan yang diumumkan melalui bantuan-bantuan untuk rakyat ini juga secara tidak langsung mampu merancakkan kembali ekonomi yang merosot teruk sebelum ini.
"Kita juga sedia maklum, bantuan-bantuan ini bertujuan untuk mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat yang terkesan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ekonomi negara dijangka terus mengukuh tahun ini sejajar dengan usaha negara memasuki peralihan ke fasa endemik menerusi pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Mohd Faisol menyifatkan pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) sebanyak RM20.936 bilion kepada 357,929 majikan bagi mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan setakat Julai lalu, antara usaha yang diambil kerajaan untuk memastikan jumlah penganggur dapat dikurangkan.
Malah katanya, keputusan kerajaan yang memperuntukkan sebanyak RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam bajet 2022 lalu juga disifatkan wajar bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
"Peruntukan besar kepada KKM ini secara tidak langsung membolehkan akses kepada kemudahan kesihatan dapat diberikan kepada tahap optimum.
"Perkhidmatan kesihatan adalah aspek terpenting ketika ini bukan sahaja untuk pesakit Covid-19 tetapi juga membolehkan KKM bersedia dalam mendepani cabaran kesihatan pada masa akan datang,” katanya.
Ujar Mohd Faisol, sistem kesihatan awam yang baik merupakan aspek terpenting yang perlu diberi fokus oleh kerajaan kerana ia turut mempengaruhi sektor ekonomi negara.
Justeru katanya, persediaan kukuh kerajaan dalam sektor kesihatan awam dalam peralihan ke fasa endemik ini secara tidak langsung memberi kesan yang sangat positif kepada ekonomi negara ketika ini.
Akses kesihatan
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, peruntukan kepada KKM terutamanya melibatkan akses kesihatan kepada masyarakat merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian.
Ini kerana katanya, peralihan ke fasa endemik ‘mengajar’ orang ramai untuk hidup bersama-sama wabak Covid-19 kerana virus jangkitan ketika ini telah pun menurun dengan begitu ketara.
"Apa yang kita dapat lihat tumpuan KKM terhadap Covid-19 kurang diberi perhatian berbanding sebelum ini kerana fokus kepada virus-virus lain seperti influenza dan sebagainya.
"Keadaan ini turut membolehkan tumpuan diberikan kepada kes-kes kesihatan lain yang tertunggak seperti kes berjangkit, kencing manis, jantung dan sebagainya.
"Hasil peralihan ke fasa endemik ini diharap semua pihak tidak lalai, meskipun kes semakin menurun dengan begitu ketara tetapi kena waspada kemunculan varian-varian baharu,” katanya.
Tambahnya, KKM juga wajar memberi perhatian untuk meningkatkan akses di klinik-klinik kesihatan awam supaya masyarakat dapat menikmati perkhidmatan yang terbaik.
"Saya juga harap, klinik dan hospital kerajaan mempunyai kelengkapan dan peruntukan yang mencukupi untuk mendepani cabaran kesihatan pada masa akan datang yang kita tidak ketahui,” katanya.