Ibrah pasca insiden berdarah

Iklan
Masjid Al Noor di Christchurch yang menjadi sasaran tembak rambang pengganas 15 Mac lalu.

KATA-KATA kemaafan paling menyentuh hati pernah lahir daripada Nabi Muhammad SAW dalam banyak peristiwa. Antara yang paling mengesankan ialah apabila baginda berdoa untuk penduduk Taif yang menyakiti baginda secara fizikal dengan doa kebaikan, bukan kemusnahan.

Tidak kurang mengagumkan ialah sifat pemaaf pemimpin ulung dan terkenal dengan pendekatan non violance seperti Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela. "Holding grudges does not make you strong, it makes you bitter, Forgiveness does not make you weak, it set you free.” – Kata Nelson Mandela sejurus hari pembebasan beliau selepas 27 tahun meringkuk di dalam penjara.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini berikutan peristiwa berdarah di Christchurch, New Zealand seorang lagi ikon dengan sifat pemaaf luar biasa bernama Farid Uddin Ahmed. Sebagai seorang OKU yang mengharapkan bantuan isterinya untuk bergerak, tidak terkesan di hatinya untuk berdendam atau berasa marah kepada peragut nyawa isterinya tersayang.

"Saya tidak mahu membawa hati yang sarat dan menggelegak seperti gunung berapi, penuh kemarahan dan dendam, ia akan membakar diri dan persekitaran. Saya mahukan hati yang penuh dengan kasih sayang,” itulah antara kata-katanya.

Iklan

Daripada sudut pengorbanan si isteri pula tentang khidmat dan baktinya kepada suami yang cacat boleh mencetuskan inspirasi kepada para isteri di mana jua. Penulis pernah mencoret jika seseorang wanita dijangkakan sukar untuk mencapai ranking wanita-wanita syurga seperti Siti Khadijah, Siti Fatimah, Asiah ataupun Ummu Salamah, setidak-tidaknya hampirilah ranking Husne Ara Parvin yang berbakti kepada suami hingga ke akhir hayat serta berakhir dengan begitu tragis.

Susulan isu itu tercetus pula insiden The Egg Boy iaitu seorang remaja Australia yang menghempuk sebiji telur ke kepala seorang senator negaranya apabila dia memberikan komen berbaur perkauman seolah-olah merestui tindakan pengganas berkaitan.

Iklan

Ia sebenarnya memberi cerminan, refleksi diri kita serta mengukur tanda aras keimanan seseorang. Apakah tahap reaksi kita terhadap sesuatu kemungkaran yang berlaku dalam pengetahuan kita. Apakah kita bertindak balas dengan tangan, dengan lidah atau hanya dengan hati?

Peringkat paling rendah ialah membenci dengan hati, rasa tidak senang. Ada riwayat mengatakan jika dengan hati pun kita tidak terasa maka sudah tiada iman di dalam hati seseorang itu.

Sekurang-kurangnya susuli dengan doa agar ALLAH memberikan hidayah kepada mereka yang mencetuskan perseteruan itu dan selamatkan orang yang teraniaya. Namun di sebalik semua itu impak paling besar telah dijelmakan oleh figura luar biasa iaitu Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam menangani isu ini. Ketokohan beliau amat terserlah apabila mampu menterjemahkan rasa empati yang amat mendalam terhadap umat Islam, bukan sahaja di negaranya tetapi juga di seluruh dunia.

Ini dapat dilihat apabila beliau ‘turun padang’ menyantuni keluarga mangsa dengan pakaian serba hitam dan berselendang. Amat menyentuh hati apabila beliau memetik hadis Rasulullah SAW mengenai eratnya kasih sayang sesama insan ibarat satu anggota tubuh dengan anggota tubuh yang lain.

Beliau juga telah menyebarkan salam pada permulaan ucapannya selain membenarkan laungan azan disiarkan secara langsung di televisyen negara itu. Boleh dikatakan dunia kini sedang tandus dengan sifat dan ciri-ciri yang ditunjukkan oleh beliau.

Bercambahlah di hati kita semua insan dan rakyat yang cintakan kedamaian, keamanan dan kemakmuran.

Walaupun insiden ganas itu berlaku nun jauh di sana tetapi wajarlah juga kita sama-sama mengambil pengajaran. Binalah bangsa dan negara ini dengan asas-asas perpaduan yang kukuh, menjauhi elemen kebencian atau curiga di antara satu dengan yang lain.

Sentiasalah memupuk dan menyemai rasa kasih sayang, mencari titik persamaan agar negara ini menjadi aman dan sentosa untuk diwarisi oleh anak cucu kita. Semua agama mencintai kedamaian dan tidak menganjurkan permusuhan.

Saya memetik kata-kata Malcom X, seorang aktivis Muslim berkulit hitam Amerika:"Kebenaran Islam telah tunjukkan kepada saya bahawa kebencian kepada orang kulit putih adalah satu sikap yang amat salah.”Apakah tahap reaksi kita terhadap sesuatu kemungkaran yang berlaku dalam pengetahuan kita. Apakah kita bertindak balas dengan tangan, dengan lidah atau hanya dengan hati?"

* Penulis ialah Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd dan mempunyai pengalaman dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia