Penguat kuasa DBKL perlu laksana tugas dengan berhemah

Iklan
Jabatan Penguatkuasaan DBKL harus memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti supaya menjadi contoh teladan kepada pihak lain. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu berhemah, menggunakan kaedah bersesuaian tetapi berkesan serta mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dalam melaksanakan penguatkuasaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ini berikutan segala tindakan penguatkuasaan oleh DBKL sentiasa diperhati dan sering dijadikan contoh terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKL harus memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti supaya menjadi contoh teladan kepada pihak lain. Tindakan kita perlu cepat, tepat dan berkesan serta memenuhi ekspektasi yang diharapkan warga kota.

"Sebagai pasukan penguatkuasaan terbesar di dalam negara, warga kerja Jabatan Penguatkuasaan DBKL perlu sentiasa meningkatkan komitmen dan ketelusan dalam melaksanakan tugas yang diberikan kerana jabatan ini memainkan peranan cukup penting bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terjaga serta terjamin," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Penguat Kuasa Jabatan Penguatkuasaan DBKL kali ke-53, di sini, pada Khamis, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sambutan Hari Penguat Kuasa ini merupakan satu pengiktirafan kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan DBKL bagi menghargai jasa dan komitmen mereka dalam melaksanakan penguatkuasaan di ibu negara, sejak 53 tahun lepas.

Iklan

Dalam pada itu, Mahadi dalam ucapannya berkata, dalam era informasi tanpa batasan, dengan penularan gambar dan rakaman video yang pantas, tugas-tugas penguatkuasaan kini berdepan cabaran yang memerlukan profesionalisme, kemahiran dan kebijaksanaan melaksanakan tindakan yang tepat dan cepat berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Besar harapan saya agar setiap aspek dalam kerja dan penugasan penguatkuasaan diberi perhatian yang tinggi, serta setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh berintegriti, cekap dan pantas," katanya.

Dalam majlis sama, seramai 37 pegawai dan kakitangan termasuk dari jabatan dalam DBKL telah dianugerahkan pelbagai pingat sebagai pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang serta kerjasama antara jabatan. - Bernama