JOHOR BAHRU - Lima lelaki ditahan kerana terlibat kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di sebuah pusat panggilan (calling centre) di Pangsapuri Tepian Bayu, Jalan Sultanah Aminah, Marina Cove di sini pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan pada jam 6 petang dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis yang diserbu itu merupakan merupakan 'calling centre' menawarkan aktiviti perjudian dalam talian.
"Selain itu sindiket ini mempunyai kutipan harian hingga RM15,000 dengan menyasarkan pelanggan dari Singapura. Premis ini telah beroperasi sejak Mac 2022," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Khamis.
Beliau berkata, menerusi serbuan itu juga pihaknya merampas empat komputer riba, 20 telefon bimbit, tiga buah modem wifi, satu wifi, dua kad akses dan wang tunai RM3,950.
Menurutnya, semua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai operator tambah nilai dan cuci kredit serta ditugaskan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian.
Jelas beliau, semua transaksi dilakukan secara perbankan dalam talian menerusi beberapa akaun yang telah dikenal pasti dan semuanya melibatkan akaun bank di negara ini.
"Gaji yang diterima mereka antara RM3,000 sebulan dan diberi komisyen sebanyak 15 peratus," katanya.
Menurut Kamarul, semua suspek direman selama empat hari bermula Rabu sehingga 1 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosi perjudian dalam talian, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 atau maksimum RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun," katanya.