Kos rawatan sakit jantung dijangka meningkat

Iklan
Penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dunia yang menyebabkan lebih 18.6 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia. - Gambar hiasan 123rf (Gambar kecil: Dr Noor Hisham)

KUALA LUMPUR - Beban kos rawatan bagi penyakit jantung di negara ini dijangka terus meningkat sekiranya tiada tindakan berkesan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam mengawal dan mencegah penyakit itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau yang memetik laporan The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia tahun ini berkata, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan lain-lain agensi termasuk jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, swasta, dan badan bukan kerajaan amat penting bagi memperkukuhkan tadbir urus penjagaan dan pencegahan penyakit jantung di Malaysia secara lebih menyeluruh.

"Lebih utama, peranan komuniti amat kritikal bagi menjayakan usaha ini,” katanya dalam ucapan aluan Hari Jantung Sedunia yang disiarkan secara maya di Facebook Portal MyHealth KKM, pada Khamis.

Iklan

Dr Noor Hisham berkata, penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dunia yang menyebabkan lebih 18.6 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Katanya, daripada jumlah kematian itu, 85 peratus disebabkan penyakit jantung koronori seperti serangan jantung dan penyakit serebrovaskular atau strok yang kebanyakannya melibatkan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam ucapan perasmiannya menyeru kepada ibu bapa untuk menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dalam mengamalkan cara hidup sihat bagi mengawal dan mencegah penyakit termasuk penyakit jantung.

Katanya, gaya hidup yang kurang sihat seperti pengambilan makanan tinggi lemak, garam dan gula, tabiat merokok, tidak bersenam dan tekanan meningkatkan risiko seseorang kepada pelbagai penyakit.

"Jika kita hendakkan anak-anak yang sihat dan cergas, sebagai ibu bapa, kita hendaklah terlebih dahulu mengamalkan cara hidup sihat. Malah ibu bapa mesti mewujudkan persekitaran dalam menggalakkan pengamalan cara hidup yang sihat,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Hargai Jantung, Sayangi Kehidupan’ antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah penyakit jantung dengan mempertimbangkan cara terbaik menghargai jantung demi kemanusiaan, alam semulajadi dan untuk diri sendiri. - Bernama