Menteri perlu belajar komunikasi

Iklan
Segala kelebihan berkomunikasi akan menjadi sia-sia tanpa sebarang nilai jika kita gagal menguasainya.

SEBELUM manusia tahu melontarkan kata-kata, komunikasi telah lama wujud dengan pelbagai kaedah. Jika kita menyelidiki asal-usul sejarah maka akan terbukti betapa berharganya komunikasi.

Namun, segala kelebihan berkomunikasi akan menjadi sia-sia tanpa sebarang nilai jika kita gagal menguasainya. Kemahiran untuk berkomunikasi dan mengaplikasinya dalam kehidupan amat bermakna terutama dalam zaman globalisasi ini.

Iklan
Iklan

Kepincangan manusia dalam mengungkapkan kata walau dengan lafaz ‘ah’ sekali pun mampu membawa padah. Sehinggakan syarat dalam upacara nikah kahwin jika pengantin tersalah sebut, maka tidak sah pernikahan itu.

Apatah lagi jika seseorang itu memegang jawatan menteri. Sang menteri wajib malah perlu sentiasa memastikan benar dan betul segala fakta apabila menghadapi media dan masyarakat. Setiap patah kata dan ungkapan menteri menjadi ‘hadis’ dan ‘fatwa’ yang menjadi pegangan khalayak.

Iklan

Memetik kenyataan Tun Daim Zainuddin baru-baru ini, "Poor communication by ministers is the main reason for public unhappiness towards Pakatan Harapan (PH) nearly a year after its historic electoral victory." (The Malay Mail, 31 March 2019).

Betapa faktor komunikasi yang amat lemah dalam kalangan menteri merupakan punca utama rakyat tidak gembira terhadap prestasi PH mentadbir negara. Ia adalah isyarat paling jelas bagaimana komunikasi memainkan peranan utama dalam pentadbiran negara.

Iklan

Tidak dinafikan majoriti pemimpin yang berada dalam Kabinet Malaysia sekarang ibarat anak murid yang baru melepasi zaman pra-sekolah dan bertatih dalam selok-belok pentadbiran negara.

Hanya beberapa orang yang memiliki pengalaman luas seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Walaupun Dr Mahathir sudah berusia 93 tahun, beliau bukan calang lawan yang boleh ditewaskan begitu sahaja apabila diajak ‘bergusti’ dalam arena politik pentadbiran Malaysia, malah tidak sedikit pemimpin utama dunia yang teruja dengan semangat dan kekuatan yang ditampilkannya.

Namun apabila beberapa ‘kerat’ dalam kalangan pemimpin PH tidak berketerampilan dalam berkomunikasi seperti yang disebut oleh Tun Daim, kita seolah-olah menyaksikan kesangsian dan lelucon yang tidak bertepi buat pembangkang dan paling malang rakyat di negara ini.

Sememangnya, pengalaman akan menjadi kayu ukur dalam menilai kemampuan PH mentadbir negara. Namun, apabila detik ulang tahun pertama bakal menghampiri pentadbiran PH, sewajarnya segala kelemahan sudah tidak lagi ditampilkan.

Penyampaian maklumat bukan sahaja tertumpu kepada media tradisional tetapi termasuk ciapan dan kemas kini status di laman sosial yang seringkali menjadi tumpuan semua pihak.

Sebarang reaksi dalam menyebut, mengulas atau berinteraksi terhadap sesuatu isu dan perkara perlu disantuni dan diperhalusi terlebih dahulu.

Komunikasi secara berhemah dan bijak wajar menjadi KPI dan penanda aras untuk setiap portfolio pentadbiran negara. Jangan hanya meletak iklan kesantunan terhadap pelanggan di setiap kaunter perkhidmatan kerajaan tetapi apabila pak menteri menjawab dan berkilas tentang sesuatu isu, segalanya menjadi tunggang-langgang dan ‘ceroi’.

Sudah tiba masanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo memainkan peranan dengan menubuhkan pasukan komunikasi khas untuk setiap portfolio dalam pentadbiran negara.

Penulis bukan bermaksud mengatakan pasukan yang ada kini tiada peranan, cuma dirasakan agak kurang berkesannya sehingga lontaran dan kritikan Tun Daim boleh kedengaran di dada media.

Pasukan komunikasi yang dibentuk harus terdiri dalam kalangan bekas pengamal media dan mempunyai pengalaman dalam dunia kewartawanan serta komunikasi. Jika benar masalah komunikasi adalah puncanya, maka sudah tiba masanya para pentadbir negara mempelajarinya.

Tidak salah untuk berguru. Tetapi jangan pula berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Sia-sialah segalanya.

* Mohd Khalil ialah bekas wartawan dan kini pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual & Pengkomputeran, Universiti Selangor