Tiga laporan dakwa cuba culik kanak-kanak di Gombak

Iklan
Gambar hiasan

GOMBAK - Polis Gombak terima tiga laporan berkaitan dakwaan cubaan culik kanak-kanak di tiga buah sekolah rendah di daerah tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan polis tersebut dibuat oleh dua wanita berusia 32 dan 38 tahun serta seorang lelaki berusia 43 tahun.

Iklan
Iklan

"Dalam ketiga-tiga laporan tersebut, pengadu telah diberitahu oleh anak masing-masing yang berusia tujuh hingga sembilan tahun mendakwa seorang lelaki yang tidak dikenali cuba menculik mereka semasa berada di luar sekolah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ariffin berkata, hasil siasatan terperinci yang dijalankan mendapati ketiga-tiga kejadian berlaku di hadapan sekolah selepas waktu persekolahan tamat.

Iklan

"Keadaan pada ketika itu dipenuhi dengan bas sekolah serta kenderaan ibu bapa yang mahu mengambil anak masing-masing," katanya.

Beliau berkata, polis telah mengambil tindakan yang sewajarnya dengan mengenal pasti saksi penting melibatkan beberapa individu termasuk pengadu, rakan sekolah mangsa, pengawal keselamatan sekolah, guru besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah serta rakaman kamera litar tertutup.

Iklan

Ariffin berkata, orang ramai serta pengamal media dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan penyebaran berita palsu dan menularkannya kerana ia boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.