SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dianugerahkan sijil audit bersih penyata kewangan bagi tahun 2021 pada Khamis.
Agensi peneraju gerakan dakwah negara itu berkata, penganugerahan sijil itu merupakan kali keempat berturut-turut diterima badan itu sejak tahun 2018.
"Yadim selaku agensi peneraju gerakan dakwah di negara ini komited untuk melestari gerakan dakwah dengan telus dan menjadi contoh dalam melaksanakan urus tadbir agensi agama,” menurut badan dakwah tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sijil berkenaan diserahkan wakil Atarek Kamil Ibrahim & Co, Muhammad Firdaus Omar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Menurut Yadim, hasil audit daripada Atarek Kamil Ibrahim & Co mendapati penyata kewangan kedudukan kumpulannya, pendapatan komprehensif, perubahan ekuiti dan penyata aliran tunai, nota penyata kewangan termasuk ringkasan dasar perakaunan memberi gambaran benar serta saksama mengenai tahap kewangannya untuk tempoh tersebut.
"Prestasi kewangan dan aliran tunai bagi tahun berakhir pada tarikh tersebut juga menurut piawaian Laporan Entiti Persendirian Malaysia (MPERS) dan keperluan Ordinan Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952 di Malaysia,” ujar kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Idris berkata, beliau sangat memberi perhatian terhadap sebarang urusan melibatkan kewangan dalam agensi yang berada di bawah bidang kuasanya.
"Audit ini ada kaitan dengan muhasabah, ada sifat ihsan, amanah, jujur, ada integriti dalam gerak kerja kita melaksanakan tugas.
"Disebabkan adanya konsep ihsan, kita tidak melakukan perkara yang menyeleweng pada perkara yang diamanahkan kepada kita.
"Saya cukup gembira kerana pengurusan Yadim bersifat profesional dalam perkara ini, tahniah atas penganugerahan sijil bersih ini,” ujarnya.