SKUAD bola sepak pantai negara menyingkap kempen Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 langkah kanan apabila menewaskan Indonesia, 9-2 di Pantai Pattaya pada Khamis.
Sembilan gol di Chonburi itu juga disifatkan isyarat awal anak buah Wan Adremy Indera Wan Adnan yang akan berdepan pasukan pilihan Thailand pada aksi terakhir.
Gol pasukan negara dijaringkan Zaharim Yusof (8', 15') Qushairie Asaari (9'), Hasrol Ali (12', 24', 30'), Fitrah Mohamad (22', 32') dan Ashrey Mat Ghani (35').
Sementara gol Indonesia kendalian Ida Nyoman Mahayasa yang tewas 3-5 kepada Thailand di perlawanan pembukaan sebelum ini dijaringkan Komang Sujana (6'), Dewa Kadek Dwipayudha (36').
"Ia bukan tentang kemenangan tetapi bagaimana kami bermain. Kami berlatih selama enam hari terakhir dan ini semua tentang bermain yang terbaik,” kata Wan Adremy Indera.
Sementara itu, Ida Nyoman Mahayasa berkata,"Kami mengharungi dua perlawanan yang sukar (menentang Thailand semalam dan Malaysia hari ini).
"Pemain saya kelihatan letih menentang dua lawan yang sukar. Jadi ia menjejaskan fizikal pemain dan seterusnya tahap tumpuan mereka.”
Anak buah Wan Adremy Indera akan melabuh kempen berdepan Thailand di venue sama dalam perlawanan liga sepusingan pada Sabtu.