Selangor FC pertaruh pengalaman Bekking

Iklan
Bekking - Foto FB Selangor FC

SELANGOR FC bersungguh-sungguh dan serius untuk menggegar kancah bola sepak tempatan apabila melantik Pengarah Teknikal baharu, Dennis Bekking bagi memperkukuhkan kelab menjelang Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pelantikan bekas Pengarah Akademi kelab Liga Belanda, FC Twente itu bukan biasa-biasa berdasarkan pengalaman dan tanggungjawabnya di kelab tersebut.

Iklan
Iklan

Bekking juga berpengalaman sebagai Pengarah Sukan di kelab Go Ahead Eagles yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan persediaan teknikal kelab dari pasukan utama sehingga ke akademi.

Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kepimpinan Sukan dari Universiti Salford, Belanda juga amat sinonim dengan suasana bola sepak tempatan kerana pernah dilantik sebagai Pengarah di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2019.

Iklan

Bekking mengakui teruja untuk memulakan peranan dan tugasan baharunya di Selangor FC selepas ini.

"Selangor FC sudah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia tidak berhenti di sini.

Iklan

"Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini, ia menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B-18 (Bawah 18 tahun) hingga ke pasukan utama.

"Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC," katanya selepas pengumuman yang dibuat Selangor FC di laman sosial kelab itu pada Khamis.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon percaya, pengalaman luas Bekking mampu memperkasakan kelab itu terutama di peringkat pembangunan.

"Pengalaman luas beliau di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia sejak beliau menjadi Pengarah AMD akan membantu beliau memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih kami dan seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC.

"Semangat, komitmen dan personaliti beliau pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FC," ujar Johan.

Bekking, 45, akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang membabitkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B-23, Selangor B-20, Selangor B-18 dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.

Beliau juga akan memainkan peranan untuk membangunkan falsafah bola sepak kelab, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

Selangor FC sebelum ini membuat kejutan apabila mengikat bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe sekali gus sedia mencabar pesaing dalam Liga M musim depan.