PDRM, polis Thailand selamatkan ejen jualan kosmetik

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR - Seorang ejen jualan kosmetik yang didakwa dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejayaan itu adalah hasil bantuan dan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Iklan
Iklan

"Seramai tujuh lelaki warga tempatan ditahan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Acryl Sani berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas merangkumi aspek siasatan dan operasi bagi menyelesaikan kes penculikan itu.

Iklan

"Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan polis Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di negara itu," katanya.

Acryl Sani berkata, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada polis Thailand dan kedutaan Malaysia di sana atas kerjasama serta bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa culik.

Iklan

"PDRM juga menyeru masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara," katanya.

Pada 13 September lalu, media melaporkan mangsa yang berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu, polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita, berusia 35 tahun hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.